Usaha kesan mangsa yang hilang diteruskan


shadow

Pihak berkuasa masih mengesan mangsa yang hilang dalam letupan dahsyat di Pelabuhan Beirut, Lubnan petang Selasa lalu selain memindahkan mayat yang ditemui.

Pegawai Jabatan Perhubungan Awam, The Awareness Consolation Association (ACA) Lubnan, Najwa Saeed, berkata sebagai badan bukan kerajaan (NGO), pihaknya turut turun padang membantu pihak berkuasa dan merasai secara tidak langsung keperitan dirasai ahli keluarga mangsa.

“Di samping menghadapi cabaran COVID-19 yang mengakibatkan situasi ketidaktentuan ekonomi semasa, satu lagi ujian berat diturunkan Allah kepada rakyat di Lubnan.

“Tidak pernah rakyat Lubnan berhadapan dengan insiden sebegini.

“Sejak letupan itu berlaku Selasa lalu, kawasan berkenaan diselubungi suasana hiba, tidak berhenti kedengaran orang menangis,” katanya pada BH, hari ini.

Penyelia Jabatan Media ACA, Khadija Ali Saeed, berkata pihaknya bersama beberapa NGO lain dari serata dunia termasuk Turki dan Jerman, turut menghulurkan bantuan dan sumbangan seperti makanan bagi meringankan beban penduduk terjejas akibat insiden itu.

“Kita turut membantu pihak berkuasa membersihkan kawasan berkenaan bagi memudahkan mereka untuk mengesan lebih ramai mangsa dan mengangkat mayat untuk diserahkan kepada pihak berkaitan.

“Beberapa anggota polis dan tentera turut ditempatkan di kawasan itu bagi mengawal keselamatan semasa,” katanya.

Semalam, Kabinet Lubnan dilaporkan mengumumkan darurat di Beirut selama dua minggu, sementara jumlah kematian akibat letupan di pelabuhan Beirut sudah meningkat menjadi 135 orang.

Dua letupan besar menggegarkan Pelabuhan Beirut sekitar jam 6.10 petang waktu tempatan Selasa lalu, menggegarkan bangunan di seluruh ibu kota Lubnan dan menyebabkan kerosakan besar di bandar.

Tinggalkan komen anda