Tiada tentera M’sia terjejas letupan di Beirut – Kedutaan Lubnan


shadow

Kedutaan Lubnan di Malaysia mengesahkan tiada tentera Malaysia yang ditugaskan di bawah Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) (Unifil) terjejas oleh letupan besar di sebuah gudang di kawasan Pelabuhan Beirut.

Kedutaan itu dalam satu kenyataan berkata letupan berkenaan berlaku di Beirut serta pinggirannya dan tentera Unifil Malaysia berpangkalan di selatan Lubnan tidak terjejas dengan letupan berkenaan.

“Tiada korban jiwa yang dilaporkan pada masa ini (melibatkan tentera Unifil Malaysia).

“(Situasi di Beirut) sangat buruk, bencana. Namun, kami belum menerima apa-apa maklumat rasmi buat masa ini,” kata kenyataan itu menerusi e-mail kepada Bernama.

Pada Selasa sekitar tengah malam waktu Malaysia, Beirut menyaksikan satu kebakaran diikuti dengan letupan besar di sebuah gudang di pelabuhannya, iaitu lokasi bahan letupan dipercayai disimpan.

Letupan itu mencetuskan kemusnahan meluas di seluruh bandar dan menyebabkan sekurang-kurangnya 70 orang mati dan lebih daripada 3,000 cedera.

Malaysia adalah sebahagian daripada Unifil untuk tugas-tugas menjaga keamanan di selatan Lubnan.

Ketika ditanya mengenai jenis bantuan yang diperlukan oleh Beirut daripada masyarakat antarabangsa pada waktu yang mencabar ini, kedutaan berkata semua jenis sumbangan boleh disalurkan kepada Palang Merah Lubnan pada pautan di sini.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata semua rakyat Malaysia di Lubnan dilaporkan selamat berdasarkan laporan awal Kedutaan Besar Malaysia di Beirut.

– Bernama

Tinggalkan komen anda