Terima RM76.9 juta daripada Zahid, firma guaman tak lapor kepada pihak berkuasa


shadow

MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu bahawa firma guaman Tetuan Lewis & Co tidak melaporkan kepada pihak berkuasa apabila ia menerima RM76.9 juta daripada bekas Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menyangka tindakan itu adalah tidak perlu.

Perkara itu didedahkan rakan kongsi firma guaman tersebut B. Muralidharan, 62, yang berkata sejumlah 92 keping cek yang diterima daripada Ahmad Zahid bagi Yayasan Al-Falah adalah dapat dipertanggungjawabkan, telus dan boleh dikenal pasti dengan mudah.

“Satu fail telah dibuka untuk tujuan ini yang bermaksud ia boleh diaudit secara dalaman dan luaran,” kata Muralidharan ketika disoal balas oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid pada hari ke-36 perbicaraan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang berdepan pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuh dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Saksi pendakwaan ke-87 itu berkata beliau tidak mempunyai alasan untuk menulis kepada Bank Negara Malaysia atau pihak berkuasa yang relevan berhubung sebarang kecurigaan bahawa dana tersebut terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Muralidharan bersetuju dengan Hisyam bahawa semua transaksi terbuka harus diteliti.

Ditanya sama ada beliau bersetuju bahawa surat aku janji yang diberikan kepada bank telah membolehkan mereka mengesahkan lokasi dan sumber dana itu, saksi tersebut menjawab ya.

Hisyam: Dengan kata lain, adakah anda berpuas hati bahawa dana yang masuk (dalam akaun pelanggan) adalah bagi tujuan amal dan kebajikan.

Muralidharan: Ya, bagi tujuan amal dan keagamaan.

Saksi itu juga bersetuju bahawa pemilik cek terbabit boleh dikenal pasti dengan mudah daripada fail yang dibuka oleh firma guaman tersebut di bawah Yayasan Al-Falah, sebuah yayasan kebajikan milik keluarga Zahid dan adik lelakinya  Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi, yang merupakan pengerusi serta pemegang amanah yayasan berkenaan.

Muralidharan berkata Yayasan Al-Falah dan Yayasan Akalbudi (milik Ahmad Zahid) adalah entiti yang berasingan, bagaimanapun menegaskan bahawa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bukan pelanggannya.   

“Beliau bukan pelanggan kami meskipun wang itu dihantar oleh beliau untuk Al-Falah,” katanya.    

Hisyam: Adakah anda menerima arahan daripada orang luar?   

Muralidharan: Tidak.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Hisyam bahawa pada amnya orang luar tidak mempunyai kapasiti untuk memberi arahan namun tidak bersetuju apabila Hisyam menyatakan bahawa Ahmad Zahid adalah orang luar.

Beliau berkata firma guamannya tidak mempunyai surat yang menyatakan bahawa Ahmad Zahid bertindak bagi pihak Yayasan Al-Falah apabila wang itu diterima daripada tertuduh.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi dan lapan pertuduhan rasuah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 24 Ogos. – Bernama, 

Tinggalkan komen anda