Syed Saddiq tanya sikap PN pada Auku


shadow

 Bekas menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) hari ini mempersoalkan apakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersetuju dengan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengekalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).

Syed Saddiq bangkit untuk menyoal Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal jika dia bersetuju dengan undang-undang yang menghalang pelajar pengajian tinggi menyuarakan pandangan politik mereka.

“Bagaimana nak melaksanakan undi 18 dan membawa kesedaran politik apabila suara anak muda disekat di dalam dan di luar negara? Apa pandangan?” soalnya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Pertanyaan anggota Parlimen Muar itu dibuat sejurus selepas Wan Ahmad Fayhsal berkongsi senarai program kementeriannya bagi tujuan meningkatkan literasi politik dalam kalangan belia berikutan langkah penurunan had mengundi kepada 18 tahun.

“Saya memberi jaminan bahawa saya akan membantu meningkatkan kerjasama dengan kementerian lain untuk kita memahami pentingnya meningkatkan penyertaan anak muda dalam politik, biarpun Auku dipinda atau tidak,” jawab Wan Fayhsal.

Bagaimanapun, ketika Dewan Rakyat membahaskan Rang Undang-Undang Peruntukan Belanjawan 2020, Syed Saddiq sekali lagi berdiri semasa giliran Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) untuk bertanya apakah dia bersetuju untuk mengekalkan Auku dalam kerajaan hari ini.

“Adakah YB akan menyokong pendirian kerajaan pada hari ini, di mana mereka tidak ingin lagi menyemak semula akta Auku yang menyekat suara anak muda daripada semua parti?

“Saya berharap YB akan setuju bahawa pindaan dan reformasi Auku perlu diteruskan, tak kira siapa pun dalam kerajaan hari ini,” katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini meminda Auku untuk membenarkan pelajar menyertai aktiviti parti politik yang diadakan dalam kawasan kolej dan universiti mereka.

Ia merupakan langkah pertama ke arah memansuhkan Auku sepenuhnya dan menggantikannya dengan satu undang-undang baru yang lebih komprehensif pada 2020.

Bagaimanapun, kerajaan PN – yang menguasai Putrajaya melalui Langkah Sheraton pada akhir Feb lalu – berkata ia tidak akan meneruskan rancangan berkenaan.

Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) kemudian mencelah dan bertanyakan adakah Ahmad Tarmizi bersetuju bahawa Auku perlu dimansuhkan serta digantikan dengan undang undang yang lebih komprehensif seperti yang telah diusahakan PH.

Turut bangkit mencelah ialah Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) dengan mengingatkan Dewan Rakyat bahawa semua anggota Parlimen, termasuk dari PAS, telah sebulat suara bersetuju untuk meminda Auku pada 2018.

Tinggalkan komen anda