SPRM tahan 11 individu bantu kes rasuah RM750,000


shadow

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 11 individu termasuk seorang pengurus operasi syarikat kejuruteraan perkapalan bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM750,000 berkaitan projek pembaikan kapal dari 2015 hingga 2019.

Menurut sumber SPRM, pengurus operasi serta 10 kakitangan eksekutif syarikat berumur 37 hingga 56 tahun itu ditahan dalam operasi di sekitar Johor semalam. 

“Difahamkan, mereka ini disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada dua syarikat kontraktor sebagai balasan memberikan projek pembaikan kapal dan mempercepatkan proses tuntutan pembayaran.

“Mereka ini dikatakan meminta kedua-dua syarikat kontraktor tersebut supaya membayar rasuah secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi. 

Kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini. 

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM Norazlan Mohd Razali ketika dihubungi mengesahkan penahanan mereka dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. – Bernama

Tinggalkan komen anda