Saksi ‘tak tahu’ apa-apa tentang sumbangan RM10 juta


shadow

Pengarah syarikat Chia Bee Enterprise Sdn Bhd (Chia Bee), Wong Hee Sing, mengaku dia tidak tahu-menahu mengenai sejumlah RM10,000,000 yang dibayar syarikat itu kepada Lewis & Co pada 2016.

Katanya, dia hanya dilantik menjadi pengarah nomini (nominee) sejak 5 Jun 2008 atas permintaan seorang lagi pengarah Chia Bee berwarganegara Singapura, Wong Sang Woo yang dikenali sebagai Paul Wong, selepas kematian bos lamanya bernama Lau Hui Kang pada 2006.

Hee Sing berkata, dia mengenali Paul Wong sejak lebih 20 tahun, bagaimanapun perkenalan itu hanyalah atas dasar Paul Wong sebagai kawan rapat mendiang Lau- yang merupakan pengarah urusan KTS Sdn Bhd.

“Saya setuju menjadi pengarah Chia Bee bagi pihak Wong Sang Woo (Paul Wong), semata-mata sebagai pengarah nomini. Saya dibayar gaji pengarah oleh Chia Bee secara tahunan,” katanya dalam penyataan saksinya.

“Saya tak ada peranan langsung dalam Chia Bee. Saya bukan pun penandatangan akaun syarikat sejak dari tarikh lantikan sehinggalah sekarang,” katanya sambil menambah sejak lantikannya juga, setakat pengetahuannya, Chia Bee tidak aktif (dormant) dan tiada aktiviti perniagaan.

Wong merupakan saksi ke-88 perbicaraan kes rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Perbicaraan hari ini masuk hari ke-37.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela Hamidi Mohd Noh, Hee Sing menjawab “tidak tahu” untuk kebanyakan soalan yang dikemukakan.

Dia menjawab “tidak tahu” apabila ditanya di mana Paul Wong tinggal, bahawa bayaran RM10,000,000 itu dibuat untuk tujuan kebajikan, dan bahawa Paul Wong seorang dermawan yang suka memberi sumbangan kebajikan.

Dia juga menjawab “tidak tahu” dengan cadangan Hamidi bahawa Paul Wong bersetuju memberikan derma kepada yayasan yang diasaskan Ahmad Zahid dan bahawa Paul Wong memberikan RM10 juta itu kepada Ahmad Zahid sebagai sumbangan kebajikan.

Terhadap cadangan Hamidi bahawa Paul Wong kenal Ahmad Zahid, malah berkawan rapat dengan anggota Parlimen Bagan Datuk itu sejak 2018, Wong turut menjawab “tidak tahu”.

Hamidi: Kamu tahu tak Paul Wong sebenarnya rasa bertuah kerana dapat menderma RM10 juta ini ke yayasan kebajikan yang diasaskan oleh (bekas) timbalan perdana menteri?

Wong: Tak.

Hamidi: Cek (RM10 juta) diberikan sebagai sumbangan, untuk tujuan kebajikan?

Wong: Saya tak tahu.

Bagaimanapun, Wong mengakui bahawa Paul Wong ialah pemilik Chia Bee, dan boleh berbuat apa sahaja yang dimahukan dengan syarikat itu, serta pelantikan dirinya sebagai pengarah hanyalah bagi menambah bilangan pengarah dalam syarikat sendirian berhad itu.

Dalam pernyataan saksinya, Wong memberitahu, Lau pernah memintanya membantu menguruskan Chia Bee kerana pengetahuannya mengenai operasi syarikat, memandangkan Chia Bee pernah dimiliki oleh KTS Group sebelum diambil alih oleh sebuah syarikat lain.

“Berhubung jumlah RM10,000,000 yang dibayar kepada Lewis & Co oleh Chia Bee, saya isytiharkan saya tidak mempunyai pengetahuan peribadi tentang bayaran itu dan saya tak ada pengetahuan tentang sebab pembayaran itu dibuat,” katanya.

Selain menjadi pengarah Chia Bee, Wong juga bekerja di KTS Timber Products Sdn Bhd sebagai pengurus sejak 1973 sehinggalah sekarang.

Tambah Wong, dia tidak pernah mengetahui tentang Yayasan Akalbudi, Yayasan Al-Falah, Lewis & Co sebelum ini, dan tidak pernah berjumpa Ahmad Zahid Hamidi secara peribadi sebelum ini.

“Saya cuma tahu dia sebagai timbalan perdana menteri,” jelasnya.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan CBT melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh menerima cek berjumlah puluhan juta menerusi peguam dari Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada amaun itu kemudiannya digunakan untuk penempatan deposit tetap bawah nama firma tersebut.

Selain itu, dua unit banglo berjumlah RM5.9 juta didakwa dibeli tertuduh menggunakan duit tersebut.

Sebelum ini, saksi pegawai bank telah mengesahkan bahawa terdapat 10 transaksi cek berjumlah RM10 juta daripada Chia Bee kepada Lewis & Co bertarikh 21 April 2016.

Setelah perbicaraan bersambung selepas mahkamah berhenti rehat seketika, Hee Sing masih memberikan banyak jawapan “tidak tahu” terhadap soalan-soalan yang dikemukakan Hamidi.

Hamidi: Saya cadangkan kepada kamu, kamu tak tahu apa-apa tentang RM10 juta itu, dan mengapa ia diberikan. Tak tahu?

Wong: Tak.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Tinggalkan komen anda