PRK Slim: Kumpulan Dr M umum calon Rabu ini


shadow

Kumpulan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan calon yang akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, pada Rabu ini.

Ahli Dewan Negara Marzuki Yahya berkata bahawa pihaknya telah mengenal pasti calon dan akan mengumumkan pada 12 Ogos ini.

“Calon sudah kenal pasti. Tun (Dr Mahathir) akan mengumumkan pada 12 Ogos ini di DUN Slim.

“Tempat dan waktu akan diumum nanti,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, kumpulan Dr Mahathir yang lebih dikenali sebagai Bersatu ‘Blackout’ mengesahkan akan bertanding di PRK Slim

Ini selepas pada 31 Julai lalu, PH berkata ia akan memberi laluan kepada kumpulan itu untuk bertanding dalam PRK tersebut.

PRK Slim diadakan susulan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul Talib ekoran serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 Ogos sebagai penamaan calon dan 29 Ogos untuk hari mengundi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi, yang mewakili BN, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

Untuk rekod semalam, Mahathir mengumumkan akan penubuhan sebuah parti Melayu baru yang menurutnya tidak akan terikat dengan PH atau Perikatan Nasional (PN).

Tinggalkan komen anda