PH janji tiada rundingan terus, bukan BN – Najib


shadow

Bekas perdana menteri, Najib Razak memberitahu bahawa BN tidak pernah berjanji untuk menggunakan sistem rundingan terus bagi projek atau perolehan kerajaan.

Sebaliknya, kata Najib, janji tersebut dibuat oleh Pakatan Harapan (PH).

“Yang jadi isu sekarang bukan zaman kita, yang jadi isu zaman PH.

“Dia janji tapi kita tahu sebaliknya ia berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama pengundi India anjuran MIC pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Slim, di Bandar Baru Slim River, petang tadi.

Terdahulu, Anggota Parlimen Pekan itu diminta mengulas cabaran bekas menteri kewangan Lim Guan Eng agar penggantinya menyenaraikan semua projek kerajaan yang dianugerahkan melalui proses rundingan terus semasa era BN dan kerajaan Perikatan Nasional ketika ini.

Ini selepas Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkan senarai 101 projek tender secara langsung bernilai RM6.61 bilion yang menurutnya diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), dengan Lim sebagai menteri kewangan pada ketika itu.

“Zafrul harus dedah projek rundingan terus zaman BN dan penting sekali yang dilulus beliau sendiri dalam PN.

“Buktikan semua projek rundingan terus yang diluluskan beliau sendiri adalah teratur dan berkepentingan awam. Biar rakyat nilai sendiri,” kata Lim.

Lim berkata sebahagian besar daripada projek berkenaan diluluskan di zaman BN. Bagaimanapun Lim mengakui RM352 juta (5.3 peratus) perolehan baru daripada RM6.61 bilion projek yang dilaksanakan oleh kerajaan PH adalah melalui proses rundingan terus.

Sebelum itu Lim berkata, walaupun mengamalkan tender terbuka, manifesto PH tidak menyebut mereka tidak boleh menggunakan kaedah rundingan terus dalam keadaan tertentu.

Katanya, terdapat pengecualian tender terbuka dibenarkan oleh Kementerian Kewangan berpandukan garis panduan kerajaan.

Antaranya, seperti perolehan semasa krisis atau bencana alam, perolehan berkepentingan nasional dan melibatkan keselamatan negara (tentera dan polis) dan kepakaran khusus (one of a kind).

Timbalan Menteri Kewangan, Abdul Rahim Bakri pula mengakui isu rundingan terus dalam kementerian bukan satu masalah namun ia bercanggah dengan manifesto PH.

Bagaimanapun janji 23 dalam manifesto PH berkaitan perolehan kerajaan tidak menyatakan akan memansuhkan sistem rundingan terus:

“Untuk memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan baik, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mereformasi sistem perolehan dan pemberian kontrak kerajaan, demi memastikan ia lebih berdaya saing dan menjana nilai yang terbaik untuk wang rakyat. Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar.”

Untuk rekod pada 22 Mei 2018, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali yang baru dilantik ketika itu berkata kerajaan baru PH tidak akan lagi menggunakan sistem rundingan terus dan tender terhad bagi projek-projek kerajaan. 

Kata Azmin, janji dalam manifeso Pakatan Harapan telah dibincangkan dengan Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

Pada Sept 2019, perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak menafikan keperluan untuk mengadakan rundingan terus bagi beberapa perolehan atau pembelian, khususnya untuk keperluan penting seperti pembelian senjata.

Mengulas lanjut, Najib berpendapat isu rundingan terus pada zaman BN tidak sepatutnya menjadi masalah kerana BN tidak pernah berjanji untuk tidak mengadakan rundingan terus melibatkan projek dan kontrak berkaitan kementerian.

“Sebab PH kata dia janji tidak ada rundingan terus. Bukan BN. Itu pokok dia,” katanya lagi selepas berkempen bagi calon BN Mohd Zaidi Aziz di PRK Slim itu.

Tinggalkan komen anda