Perjanjian 1MDB-Aabar hanya pertunjukan promosi PMO dan Jho Low, kata saksi


shadow

BEKAS ketua pegawai eksekutif 1MBD Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah tinggi ketika perbicaraan rasuah Najib Razak hari ini yang perjanjian antara syarikat pelaburan negara dan Aabar Investments PJS Limited (Aabar BVI) untuk membangunkan projek Tun Razak Exchange (TRX) diketuai Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

Shahrol berkata demikian ketika disoal oleh peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammad, mengenai apa yang terjadi sebelum beliau melepaskan jawatan itu.

Beliau digantikan oleh Mohd Hazem Abdul Rahman, yang dicadangkan oleh Najib dan Low atau dikenali juga sebagai Jho Low.

Antara perkara disoal Wan Aizuddin adalah usaha sama 1MDB-Aabar BVI untuk membangunkan TRX, dengan Aabar BVI membawa masuk modal dan 1MDB mempunyai hak pembangunan.

Tidak lama kemudian diketahui yang Aabar BVI adalah syarikat tidak aktif (shell company) yang didaftarkan di Kepulauan Virgin British dan dikawal oleh Low, bukannya Aabar Investments PJS, anak syarikat Abu Dhabi’s International Petroleum Investment Company (IPIC).

Shahrol memberitahu mahkamah beliau tidak mengetahui mengenai urus niaga itu dan ia dilakukan dengan persetujuan Low berdasarkan arahan PMO.

“Saya hanya ingin menjelaskan yang tiada petunjuk bahawa itu adalah idea 1MDB. Bukan idea saya untuk mencadangkan garis masanya, ia tidak benar.

“Garis masa dan kandungannya diperincikan kepada kami melalui e-mel dari pejabat PM,” katanya di mahkamah.

Arahan yang diberikan oleh Low, yang disifatkan oleh Shahrol sebagai orang yang dipercayai Najib.

“Itu adalah pertunjukan promosi daripada PMO … kami menerima arahan melalui nota dan fakta perbincangan daripada Jho Low,” tambahnya.

Shahrol juga mendakwa tidak perlu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak seperti biasa dalam konvensyen kerana penglibatan PMO.

Wan Aizuddin: Bukankah perlu menandatangani MoU sebelum perjanjian usaha sama ditandatangani?

Shahrol: Tidak perlu. Penglibatan saya adalah sebagai CEO (1MDB) tetapi butirannya dilakukan oleh PMO dan Goldman Sachs. Azlin memberikan garis masa dan bagi saya itu adalah tindakan antara kerajaan.

Shahrol merujuk kepada Allahyarham Azlin Alias, bekas ketua setiausaha peribadi Najib dan pengarah ekonomi di PMO, yang mengawasi hal berkaitan 1MDB.

Mahkamah juga dibentangkan dengan penyata bank BSI di Switzerland bagi 1MDB Global Investments Ltd, yang Shahrol mendakwa tidak ingat.

Namun, beliau mengaku tahu beberapa pengarah pergi ke Lugano, Switzerland untuk membuka akaun yang digunakan untuk mendepositkan dana 1MDB sebanyak AS$3 bilion.

Shahrol berkata beliau dan lembaga pengarah 1MDB tidak diberi penjelasan mengenai wang itu dan tidak memberikan persetujuan bagi penandatangan akaun untuk menguruskan dana tersebut.

Pada masa itu, persetujuan tidak diperlukan berdasarkan prosedur operasi standard 1MDB, tambahnya.

Selepas keluar daripada 1MDB, pengganti Shahrol sebagai CEO, Hazem, mengawasi urusan antara 1MDB dan Aabar BVI yang berkaitan dengan projek TRX.

Hazem juga terlibat dalam mengumpulkan bon bernilai AS$3 bilion yang diperlukan untuk membiayai projek ini.

Shahrol adalah saksi pendakwaan kesembilan dalam perbicaraan Najib dan memberi keterangan sejak September. Hazem akan menjadi saksi seterusnya yang akan memberi keterangan.

Najib, 67, dibicarakan berhubung empat tuduhan penyalahgunaan kuasa mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dengan jumlah yang sama. Beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwa menuduhnya berkomplot dengan Low untuk menipu syarikat pelaburan negara. Perbicaraan bersambung esok.

Tinggalkan komen anda