Penembak masjid New Zealand bakal bertemu mangsa


shadow

Lelaki warga Australia yang terbabit dalam insiden tembakan dan pembunuhan 51 jemaah di masjid New Zealand akan berdepan mangsa ketika prosiding jatuh hukum minggu depan, di mana tertuduh dijangka dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Ekstremis berhaluan kanan, Brenton Tarrant pada Mac lalu disabitkan atas 51 tuduhan membunuh, 40 tuduhan cubaan membunuh dan satu pertuduhan keganasan, selepas menukar pengakuan kepada tidak bersalah.

Tarrant dijangka berada di mahkamah untuk prosiding jatuh hukum selama empat hari yang bermula Isnin ini dengan kawalan keselamatan yang ketat dan sekatan terhadap liputan media.

Sebilangan mangsa yang terselamat dan keluarga mangsa dibenarkan berada di mahkamah dan bersemuka dengan tertuduh sejak kejadian tembakan pada 15 Mac 2019.

Sebelum ini, prosiding perbicaraan dilakukan menerusi pautan video dari penjara kawal maksimum di Auckland.

Hakim Mahkamah Tinggi, Cameron Mander, berkata hukuman itu adalah detik penting bagi mangsa dan cara terbaik untuk memberi ketenangan kepada komuniti Islam.

Sementara itu, Perdana Menterinya, Jacinda Ardern berkata minggu ini adalah sesuatu yang sukar untuk ramai orang.

“Tiada apa yang dapat diungkapkan untuk meredakan tempoh traumatik yang dialami.

“Keseluruhan proses ini akan mengambil masa, semestinya, setiap orang perlu didengar,” katanya.

New Zealand tidak melaksanakan hukuman mati, kesalahan membunuh dan keganasan membawa hukuman penjara minimum 17 tahun tanpa pembebasan.

Bagaimanapun hakim diberi kuasa untuk memenjarakan seseorang tanpa kemungkinan untuk dibebaskan.

Sekiranya hakim mengguna pakai bidang kuasanya, maka Tarrant menjadi individu pertama dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. – AFP

Tinggalkan komen anda