Pembangkang persoal tempoh 10 minit untuk undi belanjawan tambahan


shadow

PEMBANGKANG mempersoalkan kewajaran speaker Dewan Rakyat membenarkan persidangan ditangguhkan selama 10 minit sebelum undi belah bahagi untuk meluluskan belanjawan tambahan.

Ahli pembangkang juga membantah tatacara tersebut kerana Speaker Azhar Harun meninggalkan Dewan Rakyat sewaktu proses pengundian itu berjalan.

“Saya tempohkan mesyuarat Dewan selama 10 minit,” kata Azhar, sebelum bertindak meninggalkan Dewan.

Sivarasa Rasiah (PH – Sungai Buloh) ketika bangun membantah berkata pengundian tersebut tidak tidak sah kerana speaker meninggalkan Dewan.

“Undi tidak sah kerana Dewan ditangguh ketika proses undian,” katanya.

Khalid Samad (PH-Shah Alam) juga bangun dan berkata perkara seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

Tindakan Azhar bagaimanapun dipertahan Bung Moktar Radin (BN – Kinabatangan).

“Ini norma baharu…mungkin speaker pergi tandas,” katanya.

Azhar kemudiannya memasuki semula Dewan kira-kira 10 minit kemudian, dan mengarahkan proses undian dilakukan.

Dalam penjelasannya, beliau berkata tempoh tersebut diberikan untuk memberi masa kepada ahli Parlimen untuk memasuki Dewan di bangunan baharu.

Selain itu, kawalan pergerakan di bangunan Parlimen pula hanya membenarkan lima orang memasuki lif pada satu-satu masa.

Seramai 111 ahli Parlimen menyokong manakala 106 menentang belanjawan tambahan RM7,184 juta itu dibelanjakan untuk urusan kerajaan pada tahun ini.

Antara yang menentang, Dr Mahathir Mohamad (PH – Langkawi) yang menolak tindakan kerajaan meningkatkan perbelanjaan sewaktu negara sedang menangani pandemik.

Katanya kerajaan mewujudkan banyak jawatan Kabinet sedangkan rakyat menderita akibat Covid-19 memandangkan ramai kehilangan pekerjaan dan peluang perniagaan.

Oleh itu, kerajaan sepatutnya mengurangkan perbelanjaan supaya negara tidak mengalami defisit yang tinggi.

“Tapi dalam rang undang-undang ini, kerajaan mahu meningkatkan perbelanjaan. Ini tidak bertanggungjawab,” katanya.

Seramai lima ahli Parlimen tidak hadir persidangan untuk mengundi Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020.

RUU berkenaan dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pada 21 Julai lalu di Dewan Rakyat.

Hujah penggulungan pula dibuat Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah, yang juga ahli Parlimen Paya Besar.

Tinggalkan komen anda