Peguam, Shahrol berbalah mengenai kesan menandatangani surat sokongan MOF


shadow

Pasukan pembelaan Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi bertelagah mengenai sama ada Shahrol memahami implikasi akibat menandatangani surat sokongan Kementerian Kewangan untuk penerbitan bon bernilai AS$ 3 bilion daripada usaha sama antara syarikat itu dan Aabar Investment PJS Limited (Aabar BVI).

Peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed bertanya saksi pendakwaan kesembilan itu mengenai kesan menandatangani surat berkenaan pada tahun 2013, yang dikatakan sebagai jaminan dari kerajaan Malaysia bahawa pengeluar bon akan membayar 100 peratus prinsipal.

Perbalahan itu berlaku semasa perbicaraan rasuah berkaitan 1MDB yang dihadapi Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Surat sokongan itu merupakan usaha sama antara 1MDB dan Aabar BVI, di mana 1MDB akan memberikan komitmen sebanyak AS$ 3 bilion, manakala Aabar juga akan memberikan komitmen AS$ 3 bilion.

Namun, perjanjian itu sebenarnya dengan Aabar yang berpangkalan di British Virgin Islands, yang menyamar sebagai anak Syarikat International Petroleum Investment (IPIC) di Abu Dhabi. 

Pada akhirnya, Aabar BVI tidak menjelaskan komitmen sebanyak AS$ 3 bilion itu.

Semasa prosiding hari ini, Shahrol membantah bahawa beliau tidak terlibat langsung dalam terma-terma dalam surat itu dan pasukan peguam sebaliknya perlu menyoal wakil Kementerian Kewangan yang mendraf surat itu terlebih dahulu.

Saksi itu disoal balas oleh Wan Aizuddin atas beberapa perenggan terperinci dalam surat sokongan, yang diserahkan di mahkamah sebagai eksibit hari ini.

Shahrol: Saya tidak mempunyai pengetahuan secara langsung. Surat ini ditandatangani oleh MoF (Kementerian Kewangan), jadi pihak yang perlu menjelaskannya adalah MoF.

Wan Aizuddin: Semasa kamu menandatangani atas nama 1MDB, kamu menyatakan bahawa kamu bersetuju dengan syarat-syarat surat sokongan. Kamu tidak boleh mengatakan (sekarang) bahawa kamu menandatangani sesuatu yang kamu tidak faham.

Shahrol: Ya, saya memahaminya pada tahap tinggi, tetapi meminta saya untuk menerangkan baris demi baris (surat sokongan itu) tidak adil. Kamu harus bertanya (Siti) Zawiyah (seorang pegawai dari MoF yang didakwa kemudian terlibat dalam surat berkenaan).

Pada ketika ini, Hakim Collin Lawrence Sequerah bertanya kepada Wan Aizuddin ke arah mana pertanyaan pihak pembelaan kerana Shahrol tidak memiliki pengetahuan peribadi mengenai perincian surat itu.

Peguam menjawab pihak pembelaan perlu meneruskan pertanyaan ini untuk memastikan apakah Shahrol, sebagai CEO 1MDB ketika itu, benar-benar memahami implikasi penuh akibat menandatangani dokumen tersebut.

Ketika pemeriksaan balas disambung semula, Shahrol menjelaskan bahawa surat sokongan itu pada dasarnya menyebut ia bukan jaminan oleh bon itu sendiri tetapi jaminan oleh MoF bahawa terbitan berkenaan akan dibayar balik.

Shahrol mengatakan ini kerana pengeluar bon adalah anak syarikat yang dimiliki 100 peratus oleh 1MDB, yang sepenuhnya dimiliki oleh MoF.

Anak syarikat tersebut adalah 1MDB Global Investments Limited (1MDB GIL). Najib merupakan menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB pada ketika itu.

“Saya menandatanganinya dengan pengetahuan dan nasihat oleh Goldman Sachs,” kata Shahrol.

Goldman Sachs merupakan bank pelaburan multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang merupakan penasihat kewangan dalam perjanjian bon berkenaan.

Wan Aizuddin: Kamu sekarang tidak boleh mengatakan bahawa ini “tidak disediakan oleh saya, saya tidak memahami implikasinya”.

Shahrol: Kamu bertanya kepada saya mengenai perincian rancangannya. Saya memahaminya dari peringkat tinggi, dan pemegang saham besar Najib (sebagai menteri kewangan ketika itu, yang mengetuai Kementerian Kewangan Diperbadankan dan pemegang saham 1MDB) menyetujuinya, jadi saya mengikutinya.

Ketika prosiding berakhir hari ini, Hakim Collin Lawrence Sequerah bertanya kepada pasukan pembelaan sama ada mereka dapat melakukan pemeriksaan balas terhadap Shahrol menjelang tarikh perbicaraan berikutnya, iaitu 17 hingga 19 Ogos.

Peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah kemudian menjawab bahawa mereka boleh menyelesaikan pemeriksaan balas pada tarikh perbicaraan tersebut.

Perbicaraan kemudian ditangguhkan dan akan disambung pada 17 Ogos.

Najib didakwa atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dan 21 tuduhan pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

Tinggalkan komen anda