Selepas 91 hari berada dalam zon hijau, Pulau Pinang mencatatkan satu kes jangkitan baharu COVID-19 menjadikan kumulatif kes sebanyak 122 kes.
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam kenyataan memaklumkan pertambahan kes itu direkodkan setakat jam 12 tengah hari tadi.
Secara keseluruhannya, negeri itu mempunyai 122 kes yang mana 120 kes sudah sembuh, satu kes kematian dan satu kes baharu.
Kementerian Kesihatan (KKM) juga dalam satu kenyataan menjelaskan kes baharu yang dicatatkan di Pulau Pinang adalah daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga.
“Satu kes baharu di Pulau Pinang (kes ke-9052) adalah saringan berisiko tinggi bagi kumpulan saringan tersasar.
“Pada 30 Julai lalu, dia (pesakit) pulang ke kampung halaman (Napoh, Kedah) iaitu satu kawasan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO),” menurut kenyataan yang disiarkan di Facebook rasmi JKNPP.
Difahamkan, kes terbaharu itu membabitkan seorang doktor wanita di Hospital Sungai Bakap (HSB) yang kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Pulau Pinang diisytiharkan bebas COVID-19 sejak 9 Mei lalu hingga ia menjadi destinasi pelancongan domestik yang kerap dikunjungi pelancong tempatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri mengambil maklum berhubung kes baharu yang dilaporkan, sekali gus memadamkan status negeri hijau yang dipegang sejak 91 hari lalu.
“Kerajaan negeri memohon supaya rakyat Pulau Pinang untuk kekal bertenang dan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih.
“Selain itu, saya menyeru supaya rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Tinggalkan komen anda