Menteri: Lantikan politik bantu semak dan imbang GLC


shadow

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz mempertahankan pelantikan anggota parlimen dalam badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dengan menyifatkan langkah itu sebagai mekanisma semak dan imbang agar selari dengan dasar dan aspirasi Kerajaan.

Tengku Zafrul berkata demikian dalam jawapan lisan pada 6 Ogos lalu kepada soalan Anggota Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin yang meminta senarai lantikan politik, skim gaji mereka dan justifikasi pemilihan.

Menerusi jawapannya, Tengku Zafrul berkata seramai 15 anggota parlimen telah dilantik sebagai pengerusi dan ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat menteri kewangan (diperbadankan) (MKD), manakala hanya dua wakil rakyat dilantik di bawah seliaan kementeriannya.

Pelantikan ahli politik adalah sebagai pengerusi bukan eksekutif dan pengarah bebas bukan eksekutif yang mana akan membataskan kuasa di antara Lembaga Pengarah dan Pengurusan selaras dengan MCCG 2017 dan sebagai mekanisma semak dan imbang agar selari dengan dasar dan aspirasi kerajaan.

“Lantikan politik dijangka dapat mengimbangi kehendak korporat yang lebih cenderung berorientasikan keuntungan di samping memenuhi ekspektasi rakyat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata hanya ahli parlimen yang berkelayakan dan memenuhi kriteria sesuai sahaja yang dilantik menerusi kemahiran, pengalaman, latar belakang, personaliti, integriti dan bertanggungjawab.

Tambahnya, lantikan juga dibuat mengambil kira keperluan syarikat itu sendiri bagi membolehkan lembaga pengarah syarikat berkenaan beroperasi pada tahap yang optimum.

“Ini adalah salah satu cara untuk meningkatkan keupayaan barisan kepimpinan ahli lembaga pengarah (ALP) syarikat MKD dengan memperluaskan serta mempelbagaikan lagi komposisi ahli-ahlinya daripada segi kemampuan, kepakaran dan pengalaman.

“Pengalaman sama ada dalam bidang operasi, teknikal, profesional atau pendedahan spesifik kepada sektor berkaitan adalah penting bagi memastikan the right person with the right skills (dengan izin) dipilih bagi memantapkan struktur lembaga pengarah syarikat,” tambahnya.

Meskipun menyediakan senarai lantikan politik tersebut, Tengku Zafrul bagaimanapun enggan mendedahkan gaji mereka.

“Secara prinsipnya, kadar elaun dan insentif yang layak bagi pengerusi syarikat MKD adalah berbeza-beza mengikut kemampuan kewangan syarikat masing-masing,” katanya dengan menambah informasi tambahan boleh diperolehi daripada penyata kewangan beraudit syarikat yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Manakala bagi badan berkanun persekutuan, kadar elaun tertakluk kepada perakuan lembaga pengarah BBP masing-masing dan kelulusan menteri pengawal,” tambahnya. 

Tinggalkan komen anda