Mahkamah diberitahu Jepak tawar RM50 juta untuk dapatkan kontrak solar


shadow

PERBICARAAN rasuah Rosmah Mansor hari ini diberitahu yang Setiausaha Umno Pekan Ahmad Aazmey Abu Talib ditawarkan “yuran rundingan” sebanyak RM50 juta kerana membantu Jepak Holdings Sdn Bhd memperoleh projek hibrid suria bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin memberi kesaksian yang syarikat itu menawarkan 4% daripada kos projek bernilai RM1.25 bilion sebagai yuran rundingan, bergantung kepada kejayaan rundingan dengan Kementerian Pendidikan untuk mendapatkan projek tersebut.

Ketika disoal balas oleh peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader, Saidi mengakui beliau bersetuju membayar Aazmey RM50 juta bagi mendapatkan kontrak untuk Jepak Holdings.

Akberdin berkata ada perjanjian yang ditandatangani antara Jepak Holdings dan Aazmey pada 19 Julai 2016. Beliau mengemukakan dokumen itu ke mahkamah, yang disahkan oleh Saidi sebagai asli.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu yang tawaran itu dibuat kepada Aazmey selepas beliau membantu Jepak Holdings memperoleh beberapa minit mesyuarat dan surat iringan untuk projek berkenaan daripada perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Akberdin berkata, Aazmey memperoleh 11 minit mesyuarat dan surat iringan daripada Najib untuk projek solar.

Dua minit mesyuarat daripada Najib adalah cadangan agar Jepak dianugerahkan projek itu melalui rundingan langsung dan agar Kementerian Pendidikan mengeluarkan surat penerimaan (LOA) kepada mereka.

Saidi juga bersetuju Aazmey akan menerima tambahan 2% daripada jumlah kos penyelenggaraan projek solar sekiranya projek itu akan dilanjutkan hingga tahun ke-6.

Beberapa siri pembayaran daripada RM50 juta yang dipersetujui dibuat kepada Aazmey sepanjang 2017 tetapi Saidi berkata beliau tidak dapat mengingati jumlah tepat yang diberikan.

Bayaran tersebut termasuk RM450,000 di sebuah hotel di Kuantan, RM500,000 di Sunway Putra Mall, RM250,000 dibayar di sebuah kedai kopi di Kuala Lumpur dan RM300,000 lagi di Sunway Putra Mall.

Tinggalkan komen anda