KKM tidak halang pelajar pakai ‘face shield’


shadow

Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menghalang pelajar sekolah memakai pelindung muka (face shield) walaupun tiada bukti klinikal bahawa penggunaannya dapat menyekat penularan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kegunaan “face shield” tidak sama dengan pelitup muka.

“Memang ada bukti bahawa pelitup muka dapat memutuskan penularan Covid-19, iaitu antara 60% hingga 65%, ini ditambah lagi dengan penjarakan fizikal.

“Bagi pelindung muka pula, tiada bukti klinikal menunjukkan ia dapat mengekang virus terbabit. Namun, sekurang-kurang kita ada perlindungan ketika memakainya. Lebih baik memakai pelindung muka daripada tidak memakai apa-apa langsung.

“Kita menggalakkan mereka (pelajar) memakai pelindung muka dan pelitup muka,” katanya pada sidang media di kementeriannya hari ini.

Terdahulu Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, beberapa jenis pelitup muka sedang dikaji oleh KKM dalam usaha mengurangkan beban rakyat, khususnya golongan pelajar dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40).

Katanya, antara cadangan tersebut termasuklah membenarkan pelajar memakai pelitup muka jenis kain.

Katanya, fabrik yang dicadangkan juga mengambil kira kos bagi memastikan ia mampu dimiliki.

“Kalau 3 lapis mungkin lebih mahal harganya kerana hanya fabrik tertentu yang diluluskan. Kita sekarang ini mencadangkan sama ada kain biasa boleh digunakan untuk menutup muka.

“Kedua, kita mencadangkan supaya ‘face shield’ juga boleh digunakan ia dibeli sekali, tak perlu tukar hari-hari. Ia cuma boleh dicuci sahaja.

“Saya difahamkan harganya sekitar RM2 hingga RM4 sahaja. Hari-hari boleh cuci dan boleh pakai lagi esok. Ia mungkin boleh dipakai selama 2 hingga 4 bulan,” katanya.

Ismail berkata, kerajaan turut memohon agar KKM mengkaji sebarang jenis kain yang boleh digunakan untuk menutup mulut dan hidung, termasuk penggunaan purdah.

“Mereka yang memakai purdah misalnya, adakah perlu atau tak perlu memakai pelitup muka (sebab) dia dah ada penutup, iaitu kain purdah. Di sesetengah negeri memakai kain selendang dan sebagainya boleh tutup muka.

“Di sesetengah negeri, penutup kepala (digunakan sebagai) penutup muka, jadi (KKM pertimbangkan) sama ada boleh atau tidak.

“Sekiranya diluluskan, kita akan umumkan,” katanya.

Tinggalkan komen anda