Kes Musa Aman digugurkan selepas representasi


shadow

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan kes pendakwaan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman digugurkan selepas Jabatan Peguam Negara menerima representasi yang dikemukakan pada 13 Mei lalu.

Beliau berkata, keputusan itu juga selaras Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan iaitu keputusan untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan adalah budi bicara Peguam Negara.

“Tindakan menarik balik pendakwaan terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dibuat selaras dengan peruntukan terbabit selepas membuat pertimbangan atas perkara yang berikut.

“Selain penerimaan representasi yang dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara, satu afidavit sokongan turut difailkan di Mahkamah pada 5 Jun lalu,” katanya ketika menggulung usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin berkata, pertimbangan turut dilakukan berdasarkan keterangan dokumen syarikat dan perbankan yang dijangka tidak dapat diperoleh secara Permohonan Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (Mutual Legal Assistance).

Jelasnya, Jabatan Peguam Negara dimaklumkan oleh Jabatan Keadilan Hong Kong bahawa syarikat dan bank di Hong Kong hanya dikehendaki menyimpan rekod selama tempoh tujuh tahun dan berkemungkinan besar syarikat serta bank terbabit tidak lagi memiliki rekod atau dokumen berkenaan.

“Malah, saksi-saksi utama sudah meninggal dunia, mengalami masalah kesihatan yang serius atau tidak lagi berada di Malaysia.

“Selain itu, Suruhanjaya Bebas Rasuah Hong Kong (ICAC) memaklumkan melalui surat bertarikh 22 Disember 2011 yang menyatakan siasatan mereka terhadap Musa sudah lengkap dan berdasarkan fakta-fakta yang diketahui tiada tindakan siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, selepas meneliti dan mengkaji keseluruhan keterangan bagi kes terbabit, Jabatan Peguam Negara berpandangan bahawa pendakwaan adalah tidak wajar diteruskan dan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap pembebasan sepenuhnya yang diputuskan oleh Mahkamah.

Takiyuddin menjelaskan demikian bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan Mohamad Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang mempersoalkan kenapa Musa dibebaskan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula membuka kes terhadap Musa pada 2009 yang kemudian memulakan siasatan dengan ICAC.

Mahkamah Tinggi pada 9 Jun lalu melepas dan membebaskan Musa daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah yang dihadapinya.

Tinggalkan komen anda