Jumlah hutang, pendapatan negara tumpuan Dewan Rakyat


shadow

Jumlah hutang dan anggaran pendapatan negara pada antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu itu terkandung dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan oleh Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang) kepada Menteri Kewangan.

Lau turut bertanyakan apakah langkah yang diambil bagi memulihkan ekonomi serta meningkatkan hasil pendapatan negara susulan kesan wabak Covid-19.

Zakaria Mohd Edris @ Tubau (Bersatu-Libaran) pula meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sejauh mana tahap pelaksanaan dasar penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang berkuat kuasa pada 1 Jan lepas.

Zakaria turut bertanyakan adakah kementerian bercadang memperluaskan pelaksanaan CRS itu ke sektor pengangkutan awam.

Sementara itu, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) akan mengajukan soalan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai langkah diambil kementerian dalam memastikan kepuasan hati rakyat terhadap kualiti dan penerimaan perkhidmatan siaran TV Digital yang disediakan melalui MyFreeview.

Persoalan ekosistem cara hidup digital masyarakat Malaysia di luar bandar dan pedalaman yang tidak mendapat akses jalur lebar dan perkhidmatan 3G/4G memuaskan, turut dibangkitkan oleh Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

– Bernama

Tinggalkan komen anda