Harussani diserang strok selepas solat Subuh


shadow

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, dikejarkan untuk rawatan kecemasan di sebuah hospital swasta di sini, akibat serangan strok selepas solat Subuh, pagi tadi.

Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin, yang mengesahkan kejadian itu, berkata berdasarkan maklumat disalurkan Jabatan Mufti Perak, Harussani masih lagi dalam pemantauan rapi hospital berkenaan.

“Saya meminta seluruh rakyat Perak dan rakyat negara ini, mendoakan kesejahteraan Tan Sri Mufti yang kita sayangi.

“Kita berdoa agar beliau segera sembuh kerana khidmatnya masih diperlukan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi media.

Harussani, 81, dilantik sebagai Mufti Perak sejak 1985 sehingga kini dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun Pusat.

Antara jawatan disandang termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran; Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak.

Sementara itu, anak Harussani, Datuk Ahmad Wafi Harussani, berkata bapanya mengadu tidak dapat bangun ketika waktu solat Subuh.

“Abah mengadu tak boleh bangun dan sukar bergerak.

“Kakak saya yang bertugas sebagai doktor, datang ke rumah untuk memeriksa keadaan abah dan memberitahu abah diserang strok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Wafi berkata, bapanya kini dalam sedar, cuma sukar bergerak.”Doktor sedang memantau rapi tahap kesihatannya,” katanya sambil memohon doa rakyat Malaysia terhadap kesembuhan bapanya.

Tinggalkan komen anda