Exco: Lebih banyak sekolah di Sanglang mungkin ditutup


shadow

Lebih banyak sekolah di daerah Sanglang dan kawasan berdekatan mungkin ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) yang dikuatkuasakan sejak malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Perlis, Rozieana Ahmad, berkata semalam Sekolah Kebangsaan Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang ditutup selama tujuh hari mulai esok.

“Berkemungkinan lebih banyak lagi sekolah yang terlibat (dalam kawasan Covid-19) akan ditutup,” katanya ketika dihubungi Bernama di Sanglang hari ini.

Rozieana yang juga Adun Pauh berkata beliau tidak menolak kemungkinan penutupan dua sekolah itu akan berlarutan selama dua minggu.

Katanya tindakan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dibuat berdasarkan arahan yang diterima daripada Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihataan Malaysia dan Pejabat Kesihatan Daerah.

Semalam, Bernama melaporkan kerajaan Perlis melaksanakan Temco selama 28 hari bermula 10 malam tadi di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul.

Perlis sehingga semalam mencatat 30 kes dengan 11 kes baru dari kluster pesakit bawah siasatan Sivanganga.

– Bernama

Tinggalkan komen anda