Goldman Sachs Group Inc sudah membayar US$2.5 bilion (US$1=RM4.17) kepada kerajaan Malaysia, untuk menyelesaikan tuntutan tertunggak berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
“Kami mengesahkan bahawa US$2.5 bilion sudah dibayar oleh Goldman Sachs dan diterima melalui akaun escrow pada 27 Ogos 2020,” menurut jurucakap Kementerian Kewangan hari ini.
Akaun escrow ialah akaun dana dipegang secara amanah, manakala dua pihak atau lebih menyelesaikan transaksi.
Pembayaran tunai itu sebahagian daripada jumlah penyelesaian sebanyak US$3.9 bilion yang kumpulan itu bersetuju untuk menyelesaikan bayaran dan tuntutan tertunggak berkaitan tiga urus niaga bon yang disusun dan diatur oleh bank Wall Street untuk 1MDB.
Bulan lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata baki sebanyak US$1.4 bilion akan dibayar selepas aset yang berkait dengan hasil diseleweng melalui urus niaga itu dikembalikan semula kepada kerajaan.
Sebelum ini, kerajaan menerima sebanyak US$620 juta daripada Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.
Penyelesaian itu menjadikan dana 1MDB yang dikembalikan ke Malaysia berjumlah US$4.5 bilion. – BERNAMA
Tinggalkan komen anda