Bos Lewis & Co nafi jadi pemegang amanah Yayasan Akalbudi


shadow

Rakan kongsi firma guaman Tetuan Lewis & Co, V Premshangar menafikan firmanya pernah menjadi pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi.

Dakwaan itu memang sering ditimbulkan dengan konsisten oleh pasukan pembelaan sepanjang perbicaraan rasuah, pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram membabitkan Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Premshangar membuat penafian itu ketika peguam bela Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik membangkitkan tentang fail Yayasan Al-Falah di firma guaman tersebut.

Hisyam: Saya cadangkan, semua cek dan cek jurubank yang direkodkan di dalam fail dan lejar, duit itu kepunyaan Yayasan Akalbudi dan bukan Yayasan Al-Falah. Kamu setuju atau tidak setuju dengan cadangan saya?

Premshangar: Saya tak boleh jawab sebab saya tak kendalikan fail ini. (Tapi) Kami (Lewis & Co) tak ada fail Yayasan Akalbudi di pejabat. Kami tak pernah jadi pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi.

Malah, tambahnya lagi, dia telah pun terlebih dahulu memeriksa rekod lejar dan pembukaan fail di pejabatnya untuk mengesahkan bahawa mereka tidak pernah membuka fail untuk Yayasan Akalbudi.

“Kami tak pernah mewakili (acted for) Yayasan Akalbudi”, katanya.

Premshangar merupakan saksi ke-86 perbicaraan yang masuk hari ke-32 hari ini.

Seorang lagi rakan kongsi Lewis & Co ialah B Muralidharan.

Bagaimanapun, kata Premshangar, sia tidak mempunyai pengetahuan peribadi berkaitan pengurusan dan arahan di fail Yayasan Al-Falah di Lewis & Co kerana ia diuruskan oleh Muralidharan.

Pada 30 Julai lalu, akauntan Lewis & Co hadir memberikan keterangan bahawa firma tersebut ada membuka fail atas nama Yayasan Al-Falah pada Mei 2016, bagi tujuan kebajikan.

Menurut keterangan saksi ke-66 pada 17 Jun lalu, peguam dan ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Al-Falah, Faisalludin Mohamat Yusuff, Yayasan Al-Falah dipengerusikan oleh adik Ahmad Zahid, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi, yang juga merupakan pemegang amanah sepertinya dan penandantangan wajib bagi yayasan tersebut.

Faisalludin turut menjelaskan perbezaan kedua-dua yayasan berkenaan, iaitu Yayasan Al-Falah ialah yayasan keluarga besar Hamidi@Ahmad Tarmidzi Radin Abdul Fateh, manakala Yayasan Akalbudi pula adalah untuk Ahmad Zahid seorang sahaja.

Ahmad Zahid merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal Yayasan Akalbudi.

Tinggalkan komen anda