Bersatu mahu buang jawatan pengerusi


shadow

BERSATU akan meminda perlembagaan parti bagi membuang jawatan pengerusi dalam strukturnya, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Mohd Redzuan Yusof.

Redzuan berkata keputusan itu dibuat bagi mengelak konflik yang berlaku sebelum ini antara pengerusi dan presiden parti itu.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan tarikh khusus untuk pindaan tersebut dilakukan.

“Ya Insya-Allah sebab kita dah nampak masalahnya, mesti kena ada satu kapten dalam dua nakhoda…

“Ya akan dilupuskan jawatan itu,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada Bersatu tergugat dengan penubuhan parti baharu oleh bekas pengerusi Dr Mahathir Mohamad.

Pada 7 Ogos, Dr Mahathir mengumumkan bahawa beliau akan membentuk parti politik baharu yang akan menegakkan nilai-nilai asal Bersatu dan menghentikan rasuah.

Nama dan logo parti itu bagaimanapun masih belum diumumkan.

Ia berikutan kegagalan Dr Mahathir untuk mengambil alih Bersatu daripada presiden parti Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin bertindak membawa keluar Bersatu daripada Pakatan Harapan pada Februari menyebabkan kerajaan pimpinan gabungan parti itu runtuh.

Dr Mahathir bersama lima lagi ahli Parlimen Bersatu yang menentang tindakan tersebut kemudiannya dipecat daripada parti.

Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu Jumaat lalu selepas mahkamah menolak saman untuk mencabar pemecatan itu.

Pada masa sama Redzuan turut mendedahkan Muhyiddin sebenarnya mengasaskan Bersatu dan Dr Mahathir dijemput menjadi ahli.

Namun Dr Mahathir kemudiannya menawarkan diri menjadi penasihat parti.

“Saya sebagai salah seorang pengasas parti memberi laluan untuk seorang negarawan dimasukkan dalam perlembagaan parti yang kita panggil sebagai jawatan pengerusi,” katanya.

Selain itu tiada satu bahagian Bersatu yang terbubar ekoran beberapa pimpinannya bertindak keluar parti, tambahnya.

Mengikut perlembagaan parti, bahagian Bersatu masih berjalan seperti yang biasa kerana yang keluar hanya ahli jawatankuasa dan bukan ahli biasa.

“Tidak ada satu bahagian yang bubar kalau ikut perlembagaan. Yang berhenti adalah ajk bahagian dan MPT berkuasa untuk buat mesyuarat bahagian  untuk pelantikan baru.

“Jadi tidak ada isu pun sebab bahagian masih berdaftar ROS,” katanya. 

Tinggalkan komen anda