‘Amalan surat sokongan tak patut lagi jadi budaya’


shadow

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki mengulangi pendirian sayap parti itu bahawa amalan surat sokongan tidak sepatutnya menjadi ‘budaya’ dalam kerajaan.

“Pendirian Pergerakan Pemuda Umno tetap tegas bahawa amalan surat sokongan tidak sama sekali wajar dan patut menjadi budaya lagi,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataan Asyraf itu dikeluarkan tidak lama selepas salinan surat sokongan yang dihantar oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz kepada Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob tular di media sosial.

Dalam surat berkenaan, Ikmal memohon pertimbangan untuk anaknya, Ikmal Hazlan dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga Bhd.

Untuk rekod, Ikmal Hazlan juga merupakan seorang exco Pemuda Umno.

Surat itu mengandungi nota sokongan yang ditulis Ismail kepada Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan mengatakan dia bersetuju cadangan itu.

LTAT melalui Boustead Holdings merupakan pemegang saham utama dalam Pharmaniaga Bhd.

Ismail yang merupakan naib presiden Umno mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa dia menerima surat daripada Ikmal.

Bagaimanapun Ismail berkata dia tidak mengambil tindakan susulan berhubung cadangan itu kerana bimbang berlaku amalan nepotisme.

Asyraf juga berkongsi wawancara awal bulan ini di mana dia menjawab kontroversi surat sokongan melibatkan Ketua Pemuda Bersatu yang baru dipilih Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

“Walaupun ada yang mengatakan bahawa ini (surat sokongan) adalah budaya lama Umno, tetapi saya menekankan bahawa budaya ini telah lama dibersihkan setelah Umno dan BN keluar dari kerajaan selama 22 bulan,” katanya dalam wawancara dengan MalaysiaGazatte pada 10 Ogos.

Asyraf berkata demikian sebagai mengulas video Wan Ahmad Fayhsal ketika berkempen dalam pemilihan parti itu yang berjanji akan mengeluarkan surat sokongan bagi membantu pemuda Bersatu (Armada).

Wan Ahmad Fayhsal yang juga timbalan menteri belia dan sukan itu mengemukakan janji itu bagi merebut jawatan ketua pemuda yang turut dicabar Mohd Muzzammil Ismail.

Bagaimanapun Wan Ahmad Fayhsal menyatakan bahawa dia tidak melakukan perkara yang salah.

Dia diumumkan memenangi jawatan ketua Armada pada 15 Ogos lalu.

Tinggalkan komen anda