‘Ada majikan hentikan pekerja tanpa memaklumkan kerajaan’


shadow

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan hari ini mendedahkan senario pemberhentian pekerja yang membimbangkan akibat pandemik Covid-19 apabila segelintir majikan dikesan melakukan penamatan perkhidmatan pekerja tanpa memaklumkan kepada Jabatan Tenaga Kerja.

Katanya Seksyen 63 Akta Kerja 1955 jelas menyatakan bahawa majikan yang melakukan pemberhentian pekerja sama ada pemberhentian tetap atau sementara, secara sukarela dan juga pengurangan gaji, harus mengisi Borang Pemberhentian Kerja (PK) dan menyerahkannya ke Pejabat Tenaga Kerja sekurang-kurangnya 30 hari sebelum melakukan sebarang pemberhentian atau pengurangan gaji.

Saravanan berkata kegagalan majikan menyerahkan Borang PK itu dikesan apabila terdapat jurang perbezaan ketara ketika membandingkan data terimaan Borang PK oleh majikan dengan borang Skim Insurans Pekerjaan (SIP) yang diisi pekerja yang telah ditamatkan perkhidmatan.

Menurutnya, jumlah pekerja yang diberhentikan melalui data terimaan Borang PK dari Januari sehingga Julai adalah 44,426 orang pekerja tempatan dan angka tersebut adalah rendah berbanding jumlah pekerja yang telah mengisi borang SIP iaitu seramai 67,068 orang.

“Perbezaan seramai 22,642 orang bukan satu jumlah yang kecil tetapi amat ketara perbezaannya dan ini merupakan perkara yang tidak boleh dipandang remeh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saravanan menegaskan Kementerian Sumber Manusia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang didapati dengan sengaja tidak mengisi dan tidak menyerahkan Borang PK selepas melakukan pemberhentian pekerja ataupun pengurangan gaji.

“Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia amat mengambil serius perkara ini dan tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana majikan yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Akta Kerja yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata Borang PK adalah data penting dalam mengenal pasti pekerja yang memerlukan bantuan dalam aspek pencarian dan pemadanan pekerjaan khususnya dalam usaha kerajaan memerangi pandemik Covid-19 selain memastikan ekonomi negara terus dipacu.

– Bernama

Tinggalkan komen anda