YDP perkenan bubar DUN, kata Shafie


shadow

12.05 – Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal berkata Yang Di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin sudah memberi perkenan untuk pembubaran dewan undangan negeri Sabah.

Shafie memaklumkan perkara itu dalam sidang medianya sebentar tadi.

“Pagi tadi saya bertemu Yang Di-Pertua Negeri dan telah diperakukah untuk bubar dewan,” katanya.

Shafie juga berkata beliau masih perupakan penjaga (caretaker) pentadbiran negeri itu.

“Apa pun cerita, mereka mahu pergi istana, ada nombor sana sini, dewan sudah dibubarkan.

“Dalam jangka masa 60 hari, i’m still caretaker, saya masih ketua menteri mentadbir negeri Sabah sehingga sampai waktu SPR umum tarikh, baru kita pilih,” katanya.


11.00 pagi  – Musa Aman buat sidang media pada 12 tengah hari

Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dijadual adakan sidang akhbar di kediamannya di Kota Kinabalu pada 12 tengah hari nanti.


10.53 pagi: Tiada petanda majlis angkat sumpah setakat ini

Setakat pukul 10.30 tadi, tiada petanda ada majlis angkat sumpah ketua menteri baru.

Ini meskipun bekas ketua menteri Sabah Musa Aman mendakwa mempunyai majoriti tipis dan berharap dapat mengangkat sumpah sebagai ketua menteri hari ini.

The Star melaporkan dari Kota Kinabalu bahawa tidak ada petunjuk dari Istana Sabah mengenai upacara mengangkat sumpah itu setakat ini.

Sementara itu, Ketua Menteri Shafie Apdal sedang mengadakan pertemuan tertutup dengan perwakilan Warisan dan anggota sekutunya yang lain.

Difahamkan, pembubaran DUN Sabah yang baru berusia 26 bulan itu adalah salah satu cadangan yang sedang mereka pertimbangkan.


10.40 pagi – Shafie mula mesyuarat dengan Adun Warisan

Ketua menteri Sabah Shafie Apdal memasuki sebuah dewan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di mana wartawan dan juga wakil rakyat yang menyokong kepimpinannya telah menunggunya.

Anggota media kemudian diminta untuk keluar dari dewan kerana Shafie ingin mengadakan pertemuan tertutup dengan Adun terlebih dahulu.

Seorang pembantu mengatakan Shafie akan mengadakan sidang akhbarnya selepas pertemuan itu, dijangka pada pukul 11 pagi.

Dia dijangka mengulas pengumuman oleh bekas ketua menteri Musa Aman yang mendakwa memperoleh majoriti tipis untuk mengambil alih kerajaan negeri.


10.05 pagi: Ketua Bersatu Sabah yang juga Adun Sulaman, Hajiji Mohd Noor mengesahkan bahawa pembangkang akan bertemu dengan Yang Di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin.

“Ada isyarat (dari istana untuk hadir ke istana negeri), tetapi masa belum ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ditanya sama ada Musa akan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri, dia berkata: “Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar.”

Hajiji juga mengatakan bahawa pembangkang mendapat sokongan sekurang-kurangnya 34 daripada 65 Adun untuk mengambil alih kerajaan negeri pimpinan Warisan.


10 pagi – Sidang media Shafie ditunda

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal bertemu dengan anggota dewan undangan negeri Warisan pagi ini.

Menurut pembantu presiden Warisan itu, pertemuan itu akan berlangsung sebelum Shafie berucap pada sidang media yang pada awalnya dijadualkan pada pukul 10 pagi di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

“Sidang media akan diadakan selepas pertemuan itu, antara jam 10 dan 11 pagi,” kata pembantu itu.


9.40 pagi – Musa Aman dijangka tiba di istana 10 pagi

Bernama melaporkan dari jalan masuk ke istana negeri di Sabah, di mana Musa dijangka akan ke Istana jam 10 pagi ini untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah dan membentuk kerajaan baru di negeri itu.


9.20 pagi – Shafie menghadap YDP 

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal menghadap Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin sekali lagi pagi ini, yang merupakan kali kedua dalam tempoh 24 jam.

Sinar Harian melaporkan bahawa rombongan Shafie dilihat memasuki Istana Sabah di Kota Kinabalu sekitar jam 8.25 pagi.

Perkembangan ini hadir kira-kira satu setengah jam sebelum sidang media dijadualkan diadakan oleh Shafie berhubung situasi politik Sabah.

Bernama melaporkan kenderaan Shafie dilihat meninggalkan kawasan istana pada pukul 9 pagi.

Dalam pertemuan semalam, Shafie dipercayai membincangkan kemungkinan pilihan raya negeri.

Ia selepas bekas ketua menteri Musa Aman mendakwa bahawa beliau memperoleh majoriti tipis dari perwakilan negeri untuk mengambil kerajaan negeri.

Musa, yang merupakan wakil rakyat DUN Sungai Sibuga, mendakwa bahawa dia telah memperoleh pernyataan berkanun (SD) dari anggota dewan undangan negeri yang menyokongnya.

Bagaimanapun, pemimpin Umno itu tidak menyatakan jumlahnya.

Musa juga mendakwa bahawa dia telah diperintahkan oleh Yang Di-Pertua Negeri untuk menyerahkan SD berkenaan.

Dalam keputusan kontroversial bulan lalu, Peguam Negara Idrus Harun menggugurkan 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Musa.

Tinggalkan komen anda