‘Walaupun bon dijamin IPIC, akhirnya kerajaan yang bertanggungjawab’


shadow

Kerajaan Malaysia tetap merupakan penjamin utama bon 1MDB bernilai AS$1.75 bilion pada 2012 walaupun ia telah dijamin International Petroleum Investment Company (IPIC), kata bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed, dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Shahrol berkata, 1MDB dan IPIC – sebuah syarikat berpangkalan di Emirian Arab Bersatu (UAE) – mencapai persetujuan untuk perjanjian inter-guarantor pada Mei 2012.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh pengarah urusan IPIC ketika itu, Khadem al-Qubaisi dan Shahrol. Khadem kini menjalani hukuman penjara di Abu Dhabi atas kesalahan berkaitan 1MDB.

Shahrol yang merupakan saksi pendakwaan kesembilan pada mulanya tidak setuju dengan cadangan Wan Aizuddin bahawa 1MDB memikul tanggungjawab utama jika syarikat itu gagal membayar bon, walaupun dengan perjanjian inter-guarantor tersebut.

“Saya tidak setuju, pelanggan bon akan mempersoalkan IPIC terlebih dahulu. (Ada) dua peringkat.

“Pelanggan yang membeli nota akan mendapat wang mereka daripada IPIC dahulu. IPIC kemudian akan berurusan dengan 1MDB,” katanya.

Shahrol berkata mekanisme dalam perjanjian itu dijelaskan kepadanya oleh ahli perniagaan yang diburu, Jho Low, yang dipercayainya bertindak bagi pihak Najib ketika itu.

“Jho (Low) menjelaskan kepada saya bahawa setiap pelanggan yang melihat perjanjian dan kelayakan kredit 1MDB dan IPIC akan pergi ke IPIC terlebih dahulu,” katanya.

Shahrol percaya bahawa perjanjian itu adalah sebahagian daripada persefahaman antara kerajaan, di antara Malaysia dan UAE.

Bon bernilai AS$1.75 bilion itu adalah sebahagian daripada langkah kewangan oleh 1MDB untuk membeli Tanjong Energy Holdings Bhd, syarikat jana kuasa yang dimiliki hartawan Ananda Krishnan. Ia dijual pada 2012.

Shahrol bersetuju dengan cadangan Wan Aizuddin bahawa Najib, selaku menteri kewangan ketika itu dab pemegang saham tunggal 1MDB, tidak memberikan persetujuan secara bertulis untuk perjanjian inter-guarantor yang dibuat.

Namun, Shahrol berpendapat bahawa dia mempunyai kuasa yang diperlukan untuk melakukannya.

‘Siapa Jho Low ini?’

Sementara itu, Shahrol dalam keterangannya turut memberitahu bahawa dia ketika itu masih meyakini dan tidak meragui Jho Low, walaupun terdapat aduan daripada Istana pada 2009 bahawa ahli perniagaan itu menyalahgunakan nama Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Katanya, dia masih mengikut arahan dari Jho Low dalam pelbagai transaksi 1MDB kerana ahli perniagaan itu telah memberitahunya sebelum insiden dengan pihak Istana muncul.

Semasa pemeriksaan balas, Wan Aizuddin merujuk salah satu pertemuan yang dihadiri Shahrol pada 2009, di mana seorang pegawai Istana mempersoalkan penglibatan Jho Low dalam Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

TIA adalah badan yang kemudian ditukar menjadi 1MDB.

Wan Aizuddin: Walaupun pada masa itu, jika anda benar-benar percaya bahawa Jho Low bertindak bagi kepentingan perniagaan (1MDB), adakah insiden ini tidak akan menimbulkan kecurigaan dalam diri anda mengenai karakternya (Jho Low)?

Shahrol: Tidak, saya diberitahu oleh Jho (Low) bahawa ia akan berlaku (oleh itu tidak menyiasatnya lebih lanjut).

Wan Aizuddin: Saya rasa ini sukar dipercayai kerana anda, dalam pertemuan ini dengan pihak-pihak dari Istana Negara dan mereka bertanya “Siapa Jho Low ini”, mereka bimbang akan penyalahgunaan nama Agong, namun anda masih memilih untuk mempercayai Jho Low.

Shahrol: Ya.

Wan Aizuddin: Ini sekali lagi menunjukkan bukti yang anda mempercayai Jho Low bertindak dengan niat baik adalah tidak betul. Anda sebaliknya terlibat dalam komplot untuk menipu 1MDB.

Shahrol: Saya tidak setuju.

Kejadian itu melibatkan pertemuan pada 30 Jun 2009, di mana perwakilan Istana Negara menolak dakwaan Jho Low bahawa dia adalah penasihat kepada Sultan Mizan Zainal Abidin, yang menjadi Yang di-Pertuan Agong pada masa itu.

Para pegawai Istana Negara mempersoalkan identiti Jho Low dan peranannya dalam TIA, serta membangkitkan kebimbangan bahawa sesetengah pihak mungkin menyalahgunakan nama Sultan Mizan.

Prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan bersambung pada jam 9.30 pagi esok.

Najib kini dibicara atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

Tinggalkan komen anda