KEMENTERIAN Kesihatan hari ini berkata tiada keputusan ujian Covid-19 menggunakan “Antigen Rapid Test Kits” (RTK) tepat 100%.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menambah, juga tidak ada ujian saringan virus merbahaya itu yang menunjukkan keputusan 100% tepat.
“Terbaik kita boleh dapat adalah 90% sensitiviti dan 100% spesifisiti.
“Kelebihan guna RTK adalah ia boleh dibuat dalam 45 minit (keputusan) sementara kit ujian ‘polymerase chain reaction (PCR) mengambil masa enam jam.
“Untuk PCR kita juga perlukan 96 sampel sebelum boleh adakan ujian.
“Kosnya lebih murah guna RTK, kerana itu kita guna,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Semalam, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mempersoalkan kaedah ujian Covid-19 dibuat KKM dan jumlah sebenar kes positif di negara ini.
Katanya, ujian menggunakan RTK di KLIA menghasilkan keputusan negatif.
“Tetapi, bila mereka (penumpang) sampai di Kuching dan diuji menggunakan ‘polymerase chain reaction (PCR)’, keputusannya adalah positif,” katanya di Dewan Rakyat.
Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata tiada bukti wujud bahawa keputusan ujian itu adalah khilaf negatif (false negative), kerana ketika itu pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala.
“Pesakit mungkin berada dalam tempoh inkubasi dan jumlah virus tidak tinggi.
“Kerana itu RTK Antigen tidak mengesannya. Kalaupun kita guna ujian PCR, hasilnya tetap negatif.”
Tambahnya, KKM juga mempunyai langkah pencegahan susulan di mana individu berisiko dihendaki menjalani kuarantin 14 hari dan pemantauan berterusan pihak kesihatan.
“Kerana itulah mandatori untuk menjalani kuarantin rumah 14 hari bagi memastikan mereka selamat (tidak berisiko).
“Jika mereka ada gejala, mereka boleh hubungi kami dan kami akan nasihatkan mereka untuk ke klinik dan uji mereka menggunakan PCR.
“Kerana itulah juga kita ada pemantauan rumah. Jika mereka tak patuh dengan prosedur operasi standard dan penjarakan sosial dengan ahli keluarga, mereka boleh jangkiti orang lain,” katanya lagi.
Tambahnya, ujian menggunakan RTK Antigen dengan ketepatan 90% sekarang adalah bagus berbanding ketika awal proses saringan dibuat yang hanya menggunakan RTK dengan ketepatan 30% hingga 50%.
“Bagi kami di Kementerian Kesihatan, ketepatan 50% masih tak cukup. Kerana itulah RTK ini yang 90% (tepat) sudah cukup baik.”
Tinggalkan komen anda