‘Tiada lagi rusuhan di KL kerana jurang pemilikan harta makin rapat’


shadow

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan keamanan dan keharmonian kaum yang dikekalkan di Kuala Lumpur adalah disebabkan jurang pemilikan harta antara kaum semakin dapat dirapatkan.

Katanya, perbezaan kaum semata-mata tidak akan membawa kepada rusuhan, sekiranya tidak wujud elemen perbezaan dari segi agihan kekayaan.

“Jika pada 1969, perusuh berpendapat segala yang ada di bandar adalah milik orang lain. Hari ini terdapat banyak pemilik dalam bandar terdiri daripada kaum mereka sendiri.

“Dengan itu jika mereka merusuh, kaum mereka juga akan jadi mangsa. Sebab itu sejak Mei 1969, tidak ada rusuhan besar-besaran yang berlaku di Kuala Lumpur,” katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika membahaskan titah diraja.

Rusuhan kaum tercetus di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969 selepas parti pembangkang berarak sekitar KL, dan melontar kata-kata berunsur perkauman terhadap orang Melayu beberapa hari sebelum itu, mencetuskan tindak balas ganas.

Pada 2001, satu rusuhan pernah tercetus di Kampung Medan, Selangor, akibat perselisihan antara orang Melayu yang menghadiri kenduri kahwin, dan orang India yang menghadiri acara pengebumian.

Namun kata Mahathir, perbezaan kekayaan antara kaum masih perlu dikurangkan lagi. Tidak mengakui wujudnya masalah ini hanya akan mengundang polarisasi kaum yang lebih serius lagi.

Bergerak ke hadapan, katanya, kerajaan perlu menggunakan hasil bancian untuk tampil dengan satu rancangan bagi mengenal pasti perbezaan antara kaum, dan bagaimana untuk mengatasinya.

Tambahnya, beliau berharap agar kerajaan dapat meneruskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2020 yang dimulakan Pakatan Harapan.

Tinggalkan komen anda