Syed Saddiq dipanggil SPRM


shadow

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan, dipercayai berhubung kehilangan wang lebih kurang RM250,000 dari simpanan di rumahnya pada hujung Mac lalu.

Ahli Parlimen Muar itu melalui hantaran di Twitter berkata beliau terpaksa meninggalkan Parlimen awal hari ini kerana dipanggil oleh SPRM.

“Saya sedia dan sentiasa berikan kerjasama penuh dengan SPRM. Saya, ibu bapa & seluruh ahli keluarga saya juga telah lama isytihar harta untuk jamin ketelusan kami semua.

“Saya sentiasa berlaku jujur dan berani kerana benar. Semoga urusan saya dan SPRM hari ini dipermudahkan,” tulisnya di Twitter.

Pada 29 Mac lalu, Syed Saddiq membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, mendakwa wang yang disimpan dalam peti besi di rumahnya hilang.

Dalam laporannya beliau menyebut hanya beberapa orang tahu kod peti simpanan selamat itu, yang kali terakhir dibukanya sendiri pada 13 atau 14 Mac.

Susulan, itu SPRM membuka siasatan selepas agensi anti rasuah itu juga menerima laporan aduan mengenai “pemilikan (wang) yang meragukan”.

SPRM telah mengambil keterangan daripada beberapa saksi termasuk Syed Saddiq.

Bekas menteri belia dan sukan itu juga telah diminta mengisytiharkan hartanya sebagai sebahagian siasatan pada bulan lalu.

Polis juga pada masa sama membuka siasatan berhubung laporan kecurian.

Sementara itu, peguamnya Rafique Rashid Ali dipetik berkata tindakan SPRM memanggil ahli Parlimen itu ketika Dewan Rakyat sedang bersidang sebagai tidak wajar.

“Usul-usul penting akan dibahaskan termasuk salah satunya (usul) tidak percaya terhadap perdana menteri.

“SPRM mesti memahami bahawa sekurang-kurangnya, Syed Saddiq sebagai seorang ahli parlimen, beliau tidak boleh dilarang menghadiri Parlimen.

“Ini memberikan contoh yang tidak baik,” katanya, seperti dipetik oleh Malaysiakini.

SPRM sebelum ini menafikan dakwaan siasatannya bermotifkan politik.

SPRM membuat penjelasan itu selepas beberapa pemimpin sayap Pemuda Bersatu yang dekat dengan Syed Saddiq turut dipanggil untuk siasatan. Seorang pegawai beliau juga membuat laporan polis mendakwa diugut oleh pegawai SPRM ketika memberi keterangan.

Kes ini muncul ketika Bersatu mengharungi krisis dalaman di tengah-tengah pertembungan politik antara pengerusi yang dipertikai Dr Mahathir Mohamad dan presiden Muhyiddin Yassin.

Pada 28 Mei, Bersatu mengambil tindakan memberhentikan keahlian Dr Mahathir dan Syed Saddiq serta tiga ahli Parlimen Bersatu yang lain kerana didakwa menyokong pembangkang menentang kerajaan Muhyiddin.

Tinggalkan komen anda