SME Bank Tawar RM2.1Billion Untuk PKS


shadow

SME Bank menawarkan dana sehingga RM2.1 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi Skim SME Go dan program Dana SME Transformasi Teknologi PKS (STTF).

Dari pada jumlah tersebut, sebanyak RM1.6 bilion disalurkan untuk Skim SME Go manakala RM500 juta lagi bagi program STTF.

Ia susulan mandat yang diberikan kepada bank berkenaan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merangsang kegiatan ekonomi di kalangan PKS tempatan ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 5 Jun lalu.

Peruntukan RM2.1 bilion berkenaan dijangka bakal membantu menggerakkan semula aktiviti pembinaan di kalangan kontraktor G2 dan G3.

Ia juga katanya, akan meningkatkan penggunaan teknologi IR 4.0 yang kini telah menjadi kebiasaan.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail, berkata, program pecutan dua tahun SME Bank yang merangkumi transformasi digital yang dimulakan pada tahun 2019 telah meletakkan SME Bank di posisi terbaik untuk melaksanakan mandat serta menyokong inisiatif-inisiatif utama Kerajaan membantu melestarikan usahawan PKS semasa pendamik COVID-19 ini.”

Katanya, pihaknya menyasarkan sehingga 16,000 kontraktor G2 dan G3 serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan akan meraih manfaat daripada kedua-dua skim berkenaan.

“Bagi Skim SME Go, ia bertujuan dijadikan pembiayaan modal kerja sewaktu peringkat pra-pelaksanaan kontrak pembinaan atau pembekalan atau penyelenggaraan yang ditawaran oleh kerajaan Pusat atau negeri, kementerian, jabatan atau agensi kerajaan.

“Manakala SSTF pula untuk pembelian peralatan, mesin, perkakasan dan perisian komputer, penyelesaian dan perkhidmatan teknologi maklumat, perkhidmatan sokongan teknologi dan lain-lain aset tidak ketara untuk tujuan meningkatkan kecekapan, produktiviti dan meningkatkan penembusan pasaran,” katanya.

Margin pembiayaan untuk Skim SME Go adalah sehingga 100 peratus daripada kos kontrak dan STTF sehingga 80 peratus daripada kos pembelian yang mana maksimum adalah sehingga RM3 juta.

Tiada cagaran pendahuluan diperlukan untuk Skim SME Go tetapi bank berhak ke atas hasil kontrak daripada pemberi kontrak.

Bagi STTF pula, aset yang dibeli akan diambil sebagai cagaran kepada Bank. Pihak bank akan mendapatkan skim jaminan daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Kadar keuntungan untuk Skim SME Go ialah sebanyak 7.0 peratus setahun manakala STTF ialah 4.0 peratus setahun termasuk yuran jaminan.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Pembiayaan Skim SME Go, STTF dan lain-lain kemudahan yang ditawarkan oleh SME Bank, sila hubungi pusat panggilan pelanggan di talian 03-26037700 atau layari laman web rasmi SME Bank di www.smebank.com.my.

Tinggalkan komen anda