Saringan, pengesanan diteruskan meski kluster tamat


shadow

Aktiviti mengesan dan saringan masih diteruskan bagi kluster Covid-19 terbesar Malaysia, yakni kluster perhimpunan tabligh Seri Petaling, serta ‘subcluster’nya, walaupun kluster itu secara rasminya telah berakhir hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata aktiviti pengesanan dan saringan masih dilaksanakan bagi kluster tahfiz dan madrasah.

“Sekiranya ada keperluan atau tanda-tanda berlaku peningkatan kes contohnya melibatkan jemaah tabligh, kita akan terus laksanakan saringan.

“Ketika ini, KKM (Kementerian Kesihatan) akan menjalankan saringan bersasar kepada kumpulan yang berisiko tinggi yang dikenal pasti dan lokaliti terlibat,” katanya dalam persidangan media mengenai perkembangan Covid-19 dalam negara di Putrajaya hari ini.

Terdahulu beliau mengumumkan bahawa kluster Seri Petaling itu secara rasminya tamat, apabila 28 hari berlalu tanpa kes yang dikaitkan dengan kluster berkenaan dilaporkan, di mana kes terakhir adalah pada 11 Jun lepas.

Kes pertama dikesan pada 11 Mac dan merebak sehingga lima generasi dengan lebih 3,375 kes positif dikesan dan 34 kematian dilaporkan.

Ditanya mengenai kemunculan bukti baharu bahawa Covid-19 boleh merebak menerusi udara, Dr Noor Hisham berkata sehingga kini langkah-langkah pencegahan telah diambil kerajaan dan dipatuhi oleh orang ramai, yang berjaya memutuskan rantaian penularan penyakit itu.

Beliau berkata sekiranya orang ramai terus mengambil langkah berhati-hati, mematuhi prosedur operaasi standard (SOP), dan menjaga standard kebersihan, ia akan membantu bagi menghalang sebarang jangkitan.

“Setiap hari kita belajar ilmu baharu mengenai wabak ini, tapi setakat ini, Alhamdulillah…dengan tindakan serta SOP kita berjaya memutuskan rantaian penularan wabak dalam negara.

“Kita dah amalkan jarakan sosial satu meter, kalau dua meter, tiga meter lagi bagus… ternyata kaedah ini berjaya. Amalkan kebersihan diri iaitu kerap mencuci tangan, amalan etika batuk dan bersih dan disarankan pakai pelitup muka di tempat awam,” katanya.

– Bernama

Tinggalkan komen anda