Saksi terkejut kena pulangkan deposit RM8 juta


shadow

Pengarah Urusan Ri-Yaz Group (Ri-Yaz), Mohammad Shaheen Shah Mohd Sidek mengaku terkejut apabila diminta memulangkan wang yang didakwa deposit pembelian syer melibatkan anak Ahmad Zahid Hamidi, Nurulhidayah.

Ketika disoal timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi dalam pemeriksaan utama, kata Mohammad Shaheen, mengikut kebiasaan dalam urusan perniagaan, deposit tidak perlu dipulangkan apabila sesuatu perjanjian terbatal.

Ahmad Sazilee: Adakah ini (pemulangan deposit) satu perkara biasa dalam perniagaan?

Mohammad Shaheen: Saya bila diberitahu macam itu, saya tak tahu kandungan perjanjian jual beli (sale and purchase agreement). Jadi saya terkejut sebab kena bayar balik duit (deposit) ini. Saya ingat duit ini sebagai deposit pembelian syer.

Ahmad Sazilee: Dalam perniagaan yang biasa, apabila kita sebut deposit, adakah deposit perlu dipulangkan kalau perjanjian terbatal?

Mohammad Shaheen: Tak perlu.

Mohammad Shaheen merupakan saksi ke-84 dalam perbicaraan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan Ahmad Zahid yang masuk hari ke-29 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Jelasnya, Ri-Yaz Group mempunyai beberapa syarikat lain antaranya Ri-Yaz Hotels & Resorts, Ri-Yaz Global Food Brands, Ri-Yaz Development, Ri-Yaz Higher Learning dan Ri-Yaz Asset Sdn Bhd.

Dalam keterangan hari ini, Mohammad Shaheen mengesahkan tiga transaksi cek antara Ri-Yaz dan firma guaman, Lewis & Co, seperti keterangan saksi ke-83 semalam, iaitu bekas pengarah Ri-Yaz Asset, Abdul Rashid Abdul Manaf.

Abdul Rashid pada ketika transaksi itu berlaku, juga merupakan pengerusi Ri-Yaz.

Transaksi pertama adalah bayaran RM8,602,920 dari Lewis & Co kepada Ri-Yaz Asset pada 30 Jun 2016, bagi menyelesaikan tunggakan pinjaman pembelian hotel di Indonesia kepada Exim Bank, sebagai prasyarat kepada pertimbangan penjualan 60 peratus saham milik Abdul Rashid dalam Riy-Yaz kepada Nurulhidayah oleh pihak bank.

Transaksi kedua ialah bayaran RM254,879.10 dari Ri-Yaz kepada Lewis & Co, yang merupakan lebihan wang tunggakan pinjaman sebelum itu, akibat susutan nilai mata wang dolar AS.

Transaksi ketiga ialah bayaran RM8,348,040.90 dari Ri-Yaz kepada Lewis & Co, apabila urusan pemindahmilikan syer antara Abdul Rashid dan Nurulhidayah terbatal.

Sepanjang perbicaraan, pihak pembelaan konsisten mencadangkan Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi, sebuah badan diasaskan oleh Ahmad Zahid, dan dia juga menjadi pemegang amanah dan penandatangan tunggal yayasan berkenaan.

Dalam pemeriksaan utama, katanya, selepas urusan pembelian itu terbatal, dia ada berjumpa Ahmad Zahid dan Nurulhidayah, dan dalam pertemuan itu Ahmad Zahid sendiri bertanya bila dia hendak membayar semula wang berkenaan selepas urusan pembelian terbatal.

“Datuk Zahid sendiri memberitahu saya bila hendak bayar balik wang yang telah diberi sebab duit ini duit yayasan. Tapi saya tak tahu yayasan mana.

“Tapi dia beritahu yang duit ini (RM8.348 juta) mesti dipulangkan dan (bertanya) bila Ri-Yaz akan pulangkan duit ini,” katanya menjawab soalan timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi.

Ahmad Sazilee: Ada Datuk Seri (Mohammad Shaheen) bertanya, kenapa wang perlu dibayar kepada Lewis & CO dan tidak kepada yayasan?

Mohammad Shaheen: Tak. Saya tak tanya.

Selepas itu, katanya, Abdul Rashid ada berjumpa dengan Ahmad Zahid namun dia tidak terlibat sama.

Selepas itu, dia dimaklumkan Abdul Rashid bahawa Ahmad Zahid meminta Ri-Yaz segera memulangkan wang itu, dan Abdul Rashid turut memintanya mengeluarkan nama Nurulhidayah sebagai pengarah Ri-Yaz.

“Dari makluman Tan Sri Rashid tersebut saya faham bahawa urusan jual beli saham di antara Tan Sri Rashid dan Dato’ Nurulhidayah tersebut tidak berjaya,” katanya.

Berdasarkan keterangan Mohammed Shaheen dan Abdul Rashid, Ri-Yaz meminjam wang AS$24.8 juta daripada Exim Bank bagi membeli hotel di Bali, Indonesia bernilai AS$31 juta, namun berdepan masalah untuk membayar faedah pinjaman mengikut terma yang telah ditetapkan.

Bagi menyelamatkan syarikat, Abdul Rashid mencadangkan pilihan sama ada untuk hotel itu dijual, atau beliau sendiri menjual syer di dalam Ri-Yaz Group.

Nurulhidayah menyatakan minat untuk membeli syer Abdul Rashid, yang membawa kepada pertemuan antara Abdul Rashid, Mohammad Shaheen, Nurulhidayah dan Ahmad Zahid sendiri.

Namun, Abdul Rashid menetapkan empat syarat, iaitu:

Nurulhidayah perlu membayar semula modal Abdul Rashid sebanyak RM 20juta.

Nurulhidayah perlu menstrukturkan semula pinjaman syarikat dengan Exim Bank bagi memanjangkan tempoh pinjaman.

Nurulhidayah perlu mengeluarkan nama Abdul Rashid sebagai penjamin pinjaman Exim Bank tersebut.

Nurulhidayah perlu membayar tunggakan bayaran bulanan yang masih belum dibayar kepada Exim Bank – sebanyak AS$2.058 juta atau kira-kira lebih RM8 juta- sebelum pinjaman menjadi pinjaman tak berbayar (NPL).

Bayaran tunggakan itu adalah prasyarat sebelum penjualan 60 peratus saham milik Abdul Rashid kepada Nurulhidayah dipertimbangkan oleh pihak bank.

Bagaimanapun, memandangkan Exim Bank mahu Abdul Rashid kekal sebagai penjamin pinjaman dan perlu memegang syer sekurang-kurangnya 10 peratus jika mahu menjual sahamnya, Abdul Rashid menolak cadangan tersebut dan perjanjian jual beli saham itu pun terbatal.

Nurulhidayah dilantik menjadi pengarah syarikat pada 27 Januari 2017 – beberapa bulan selepas bayaran pertama dibuat- dan meletakkan jawatannya pada 31 Julai 2017 setelah urusan pembelian itu terbatal.

Seperti Mohammad Shaheen, Abdul Rashid juga semalam menganggap wang lebih RM8 juta dari Lewis & Co itu sebagai wang deposit terhadap urusan jual beli saham itu.

Semasa pemeriksaan balas, Mohammed Shaheen menjawab “tidak tahu” kepada cadangan-cadangan peguam bela Mohd Haziq Dhiyauddin Razali, iaitu pembelian syer itu adalah pelaburan Yayasan Akalbudi; Nurulhidayah diletakkan sebagai pengarah untuk mengawal selia pelaburan yayasan; dan pembelian itu tidak diteruskan kerana ia “tidak membawa keuntungan”.

Dalam pemeriksaan semula oleh Ahmad Sazilee, dia bersetuju bahawa dalam perbincangan mengenai urusan pembelian saham, tidak ada dibangkitkan soal pelaburan dan keuntungan seperti dicadangkan Mohd Haziq.

Perbicaraan bersambung esok. 

Tinggalkan komen anda