Polis nafi tiada tindakan, perbincangan


shadow

Polis menafikan tidak mengambil tindakan awal terhadap perhimpunan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur ketika perbicaraan Datuk Seri Najib Razak semalam, sebaliknya perbincangan dengan beberapa pihak termasuk penganjur, sudah dilakukan minggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata minggu lalu, siri perbincangan sudah dilakukan antara Ketua Polis Daerah Sentul dengan mereka yang membawa rombongan, tetapi arahan yang sudah ditetapkan itu diingkari.

Kata beliau, perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah kewajiban menjaga jarak khususnya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berlangsung.

“Kita sampaikan kepada mereka apa yang perlu dilaksanakan dan saya percaya masyarakat sendiri sepatutnya sedar mengenai COVID-19 yang masih menular di dalam negara. Kami benar mereka datang tetapi perlu menjaga diri masing-masing.

“Tetapi sebaliknya berlaku dan apa yang dinyatakan dalam pertemuan itu tidak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Mazlan berkata, penganjur perhimpunan akan dipanggil membantu siasatan kerana ingkar arahan yang sudah diberikan pihak berkuasa.

“Kita hanya menjangkakan seramai 800 ke 900 orang sahaja yang akan hadir tetapi lebih yang datang,” katanya.

Ditanya mengapa tindakan tidak dilakukan segera oleh polis ketika di Kompleks Mahkamah semalam, Mazlan menjelaskan, mereka tidak mahu mengeruhkan keadaan kerana nasihat serta amaran sudah diberikan.

“Nasihat sudah dilakukan dan amaran juga sudah diberikan… pun begitu mungkin kerana keghairahan mereka yang hadir ia tidak diendahkan.

“Kenapa mahu undang masalah, kerajaan juga sudah berkali-kali memberi amaran dan nasihat. Ini (situasi perhimpunan) bukan kita jaga kita lagi… akhirnya pihak polis yang dipersalahkan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai tindakan susulan yang bakal, Mazlan berkata, ketika ini pihaknya sedang meneliti kesalahan mengikut Akta Perhimpunan Aman dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, dan akan menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan individu terbabit.

“Laporan polis sudah dilakukan oleh orang awam dan siasatan berhubung perkara berkenaan juga sudah dijalankan,” katanya.

Perhimpunan menyokong Najib semalam mengejutkan rakyat Malaysia yang bimbang penularan COVID-19 akan berlaku dalam kalangan mereka yang hadir berikutan tiada penjarakan sosial selain ribuan yang hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur itu dilihat tidak mengendahkan arahan yang ditetapkan.

Tinggalkan komen anda