PM sampaikan perutusan khas PKPP 4 petang ini


shadow

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan perutusan khas mengenai perkembangan terkini perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) jam 4 petang ini.

Ia akan disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen tempatan.

Poster terbaru mengenai perutusan khas itu dimaklumkan satu jam selepas penafian poster sebelumnya yang mempunyai waktu berbeza (3 petang).

Penafian poster terdahulu dibuat dalam satu kenyataan oleh Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang memetik Pejabat Perdana Menteri.

“Pejabat Perdana Menteri atau PMO menafikan pemakluman bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan perutusan khas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan pada hari Isnin, 20 Julai 2020 pukul 3 petang melalui TV3, NTV7, 9TV dan TV9 seperti yang sedang tular di media sosial,” menurut Pasukan Respons Pantas KKMM.

Sementara poster terbaru yang menyatakan perutusan khas akan berlangsung pukul 4 petang dikongsi hantaran Facebook PMO dan Muhyiddin.

Untuk rekod, pada 7 Jun, Muhyiddin mengumumkan penguatkuasaan PKPP bagi menggantikan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos.

Muhyiddin berkata Malaysia kini memasuki fasa pemulihan dan menerusi PKPP, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada orang ramai dalam menjalani kegiatan seharian.

Beliau berkata PKPP adalah sebahagian daripada strategi keluar daripada PKP yang mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020 diikuti dengan PKPB sejak 4 Mei 2020.

Tinggalkan komen anda