‘Perketat kuarantin, elak gelombang kedua Covid-19 seperti Australia’


shadow

Bekas perdana menteri, Najib Razak menggesa kerajaan untuk mengetatkan peraturan kuarantin berikutan laporan kluster baru Covid-19 membabitkan kes-kes yang diimport.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengkaji keputusannya mengizinkan mereka yang pulang dari luar negara menjalani pengawasan sendiri di rumah, dan mereka yang melanggar kuarantin perlu dipenjarakan dan bukannya dibebaskan dengan denda RM1,000.

“Jika kos merupakan faktor kenapa membenarkan kuarantin di rumah, saya percaya mereka yang tiba atau pulang dari luar negara mampu menampung kos bagi kuarantin 14 hari dalam pusat kuarantin rasmi negara atau dalam hotel-hotel yang telah disyorkan kerajaan.

“Suruh mereka bayar sendiri.

“Mereka yang tiba dari luar negara perlu dianggap sebagai kes suspek dan dikendalikan sebegitu sehingga sampai ke pusat kuarantin atau hotel,” katanya.

Najib memberikan peringatan mengenai gelombang kedua jangkitan Covid-19 dengan mengambil contoh apa yang terjadi di Australia akibat kelemahan sistem kuarantin di negara itu.

Gambar fail, pusat kuarantin ketika tempoh PKP.

“Warga Malaysia tidak mahu apa yang menimpa negara Australia sekarang yang kini mengalami gelombang kedua Covid akibat kelemahan sistem kuarantin mereka berlaku di Malaysia

“Saya percaya Rakyat Malaysia tak larat untuk mengulangi PKP 6 minggu lagi setelah kita sudah berkorban dua bulan.

“Kerugian kepada ekonomi kita jika kita terpaksa mengulangi tempoh PKP adalah sangat besar,” tegas beliau pada suatu hantaran di media sosial malam tadi.

Malaysia pada mulanya melakukan kuarantin terhadap individu yang pulang dari luar negara di pusat kuarantin sementara di hotel-hotel khas dengan perbelanjaan ditanggung kerajaan.

Kuarantin wajib itu dilaksanakan selama 14 hari bagi memastikan seseorang itu benar-benar bebas daripada wabak Covid-19.

Bagaimanapun, mulai 1 Jun, rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara perlu membayar separuh kos kuarantin, iaitu RM150 sehari atau RM2,100 selama dua minggu.

Sementara itu, bagi bukan warganegara Malaysia termasuk pemastautin tetap dan tanggungan warganegara Malaysia mereka perlu membayar kos penuh kuarantin.

Bagaimanapun, kerajaan pada 10 Jun lalu menetapkan mereka yang pulang dari luar negara hanya perlu melakukan kuarantin di kediaman masing-masing.

Negara ‘berisiko tinggi’

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah membenarkan keputusan itu dengan alasanhanya sebilangan kecil mereka yang kembali dari luar negara positif Covid-19.

Pada 5 Julai, dua rakyat Malaysia kembali dari Novgorod, Rusia, pada 5 Julai dan seorang didapati positif Covid-19 semasa ketibaan dan diasingkan.Manakala yang lain dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

Semasa menjalani kuarantin di rumah, pesakit mengalami simptom dan kemudian diuji positif Covid-19, bahkan ayah pesakit juga turut dijangkiti.

Sejak itu, kluster Covid-19 lain yang melibatkan kes import juga telah dikesan, termasuk tiga daripada empat kluster baru yang dilaporkan semalam.

Kluster PUI Pitakwa, membabitkan seorang warga negara Malaysia yang pulang dari Nigeria yang dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu kerana mengalami gejala Covid-19 yang teruk.

Dia didapati telah mempunyai kontak rapat dengan 44 orang termasuk ahli keluarga, penumpang dan krew kapal terbang, pemandu teksi serta rakan sekerja dan daripada jumlah itu dua didapati positif Covid-19.

Kluster PUI Shirala pula membabitkan seorang bukan warga negara golongan profesional yang telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Kluster Musytari melibatkan tiga pelaut yang bekerja di atas kapal yang berada di perairan Malaysia di luar Sarawak ketika salah seorang daripada mereka jatuh sakit. Kapal ini mempunyai sejarah lawatan ke Jepun dan Singapura.

Tinggalkan komen anda