Lelaki bersenjata yang menyerang masjid Christchurch di New Zealand memecat peguamnya pada Isnin dan memilih mewakili diri sendiri, sekali gus menimbulkan kekhuatiran sesi perbicaraan bulan depan dijadikan platform untuk mempromosikan pandangannya terhadap ketuanan bangsa kulit putih.
Tertuduh, Brenton Tarrant yang juga warga Australia akan dijatuhkan hukuman pada 24 Ogos ini terhadap 51 kesalahan pembunuhan, 40 cubaan membunuh dan satu kesalahan keganasan membabitkan pembunuhan beramai-ramai tahun lalu yang mencatatkan insiden tembakan terburuk dalam sejarah moden New Zealand.
Dia mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.
Pada sesi perbicaraan prapengadilan pada Isnin, Hakim Mahkamah Tinggi, Cameron Mander membenarkan peguam mewakili Tarrant, Shane Tait dan Jonathan Hudson, untuk menarik diri daripada prosiding atas permintaan tertuduh.
Bagaimanapun, hakim memerintahkan supaya disediakan ‘peguam yang dilantik mahkamah’ (standby counsel) bulan depan membabitkan kes Tarrant yang tampil di mahkamah Christchurch melalui pautan video dari penjara Auckland, jika tertuduh berubah fikiran.
Presiden Persatuan Muslim New Zealand, Ikhlaq Kashkari mempersoalkan motif Tarrant dan tidak menolak kemungkinan mangsa kejadian itu boleh menjadi trauma semula jika tertuduh dibenarkan menyampaikan ucapan retorik sangat konservatif daripada kamar tertuduh.
“Kebimbangan pertama saya apabila membaca laporan ini ialah ‘Ya Tuhan, apa yang cuba dilakukan lelaki ini, adakah dia ingin menggunakan platform itu untuk mempromosikan pandangan dan pemikirannya?’,” katanya kepada AFP.
“Ramai mangsa masih trauma dan pengadilan ini dilihat sebagai antara titik noktah bagi kesakitan itu. Saya harap ia tidak mencetuskan lebih banyak kesakitan,” katanya.
Pada Mac 2019, Tarrant menembak mati ahli jemaah yang sedang menunaikan solat Jumaat di dua masjid di Christchurch dan memaparkan tindakannya itu secara langsung di media sosial.
Mangsa insiden itu turut membabitkan kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Bekas jurulatih gimnasium itu tidak dijangka menukar pengakuan kepada bersalah pada Mac tahun ini, sekali gus memendekkan tempoh perbicaraan.
Tuduhan membunuh dan keganasan membawa kepada hukuman penjara seumur hidup, menetapkan tempoh tanpa jaminan minimum selama 17 tahun, yang memberikan kuasa kepada hakim untuk memenjarakan tertuduh tanpa kemungkinan dibebaskan.
Undang-undang New Zealand tidak mempunyai hukuman mati.
Mangsa yang terselamat dan keluarga mangsa akan hadir dalam sesi perbicaraan selama tiga hari.
Jurucakap Majlis Wanita Islam New Zealand, Anjum Rahman, berkata ramai dalam kalangan mereka tidak mahu mendengar kata-kata daripada Tarrant.
Walaupun beliau tidak mahu membuat spekulasi atas motif Tarrant yang mahu mewakili dirinya sendiri namun menjelaskan bahawa lelaki itu sudah membuktikan sebelum ini bahawa dia sukakan perhatian dan mahukan perhatian.
“Saya rasakan ini adalah sebahagian daripada pemikirannya,” katanya. – AFP
Tinggalkan komen anda