‘Pencapaian 4 bulan bukan jaminan PN menangi PRU mengejut’


shadow

Penganalisis politik dan badan pemikir berpendapat pencapaian Perikatan Nasional (PN) sepanjang kira-kira empat bulan mentadbir negara belum cukup untuk menjamin kemenangan, jika pilihan raya mengejut diadakan.

Ketua penyelidik badan pemikir Ilham Centre, Mohd Yusri Ibrahim berkata PN tetap perlu menyelesaikan isu politik dalaman gabungan itu terutama berhubung isu pembahagian kerusi.

“Kemampuan PN untuk menang PRU akan datang bukan sekadar bergantung kepada kemampuan menangani isu-isu kesihatan dan ekonomi, tetapi paling penting kemampuan menangani politik dalaman PN itu sendiri.

“PN berpeluang cerah menang jika mereka menyertai PRU dengan status qou yang ada sekarang, iaitu menggunakan jenama PN dan mengekalkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri,” katanya sambil menambah populariti Muhyiddin baik untuk PN.

Mengulas lanjut mengenai masalah dalam PN, Mohd Yusri berkata selain pertikaian dalam agihan kerusi tradisi terutama di kawasan majoriti Melayu, PN turut berdepan dengan isu mengangkat jenama gabungan itu dalam PRU dan ketidaksepakatan dalam pengekalan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“PN berpeluang menang jika isu-isu dalaman seperti lambang yang akan digunakan, calon perdana menteri dan agihan kerusi berjaya diselesaikan dengan baik.

“Jika isu-isu tersebut gagal diurus dengan harmoni, tiada jaminan untuk mereka mengusai Putrajaya selepas PRU ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Umno dan PAS boleh tukar pendirian

Pada 5 Julai lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali berkata PN telah cukup kriteria untuk mengadakan PRU mengejut pada bila-bila masa kerana telah berjaya menangani krisis kesihatan awam, politik dan ekonomi.

PRU boleh diadakan pada tahun ini atau tahun depan, kata Azmin lagi seperti dipetik Sin Chew Daily.

Muhyiddin dalam usaha merasmikan gabungan PN agar parti-parti yang terlibat boleh bertanding di bawah platform itu dalam PRU akan datang.

Pada masa sama, pengerusi Umno negeri dan pesuruhjaya PAS negeri berkumpul semalam bagi pembentukan jawatankuasa Muafakat Nasional (MN) peringkat negeri.

Ia sekali gus ke arah mempersiapkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berkemungkinan akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Pensyarah Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi pula berkata bahawa PN tidak boleh bergantung dengan ciri-ciri yang disebutkan Azmin sahaja untuk menang jika PRU mengejut diadakan kerana banyak faktor lain perlu diambil kira, terutama pendirian Umno dan PAS yang boleh berubah ketika saat-saat akhir selepas Parlimen dibubarkan.

“Misalnya Umno dan PAS pada saat akhir membuat keputusan untuk bersandarkan MN dan tak mahu melibatkan PN.

“Pada saat akhirnya Umno dan PAS boleh berubah pendirian untuk meletakkan calon Umno sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri (dari) PAS misalnya,” katanya.

Pengundi muda kecewa tapi…

Meskipun begitu, menurut Mohd Yusri dan Awang Azman, tidak dapat dipertikai bahawa sentimen rakyat dari luar bandar lebih memihak kepada PN yang dilihat mewakili suara Melayu-Islam.

“Jika diperincikan, sokongan ini majoritinya daripada segmen Melayu-Muslim luar bandar serta dengan tahap sosial ekonomi status (SES) yang agak rendah.

“Bagi komuniti Melayu di bandar dengan tahap SES pertengahan dan ke atas, majoritinya tidak menzahirkan sokongan ketara kepada PN, barangkali mereka masih tunggu dan lihat untuk menilai prestasi PN seterusnya, khususnya dalam aspek tadbir urus yang lebih lestari,” kata Mohd Yusri.

Mereka turut berpendapat bahawa kaum bukan Melayu terutamanya Cina dan India di semenanjung akan kekal menyokong PH.

Bagaimanapun, Awang Azman, Mohd Yusri dan Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia positif bahawa ketidakstabilan politik semasa akan menyebabkan golongan muda tawar hati untuk turun mengundi.

Malah Azmi berkata, keadaan ini akan memberi semangat kepada mereka untuk menyumbang sebahagian untuk politik negara.

“Ia sebenarnya akan memberi semangat untuk menyertai proses politik, iaitu keluar mengundi, untuk mengelakkan hanya ahli politik yang membuat keputusan berkaitan politik,” katanya lagi.

Pada masa sama, Mohd Yusri dan Awang Azman tidak menolak tanggapan bahawa anak muda yang terdiri dalam golongan berpendidikan, pertengahan dan atasan kecewa dengan senario politik hari ini.

“Namun dalam masyarakat, komposisi golongan ini secara relatifnya masih kecil berbanding jumlah pemilih keseluruhan, walaupun ada segelintir yang akan memprotes dengan tidak turun mengundi, namun dijangka tidak akan memberi kesan besar kepada jumlah keluar mengundi nanti,” kata Mohd Yusri.

Tinggalkan komen anda