Datuk Seri Najib Razak mengemukakan 19 saksi bagi menjawab tujuh tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang dihadapinya.
Prosiding bela diri itu mengambil masa selama 33 hari di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bermula, pada 3 Disember tahun lalu.
Selain Najib, antara saksi utama dipanggil sepanjang perbicaraan bela diri itu ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali; dan dua bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Latheefa Koya.
Dalam pembelaannya, bekas perdana menteri itu mengakui terkejut mendapat tahu wang berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd dimasukkan dalam akaun bank miliknya.
Menurut Najib, beliau mengambil keputusan tidak memulangkan wang itu kerana ia masih tertakluk kepada siasatan pihak berkuasa dan mahu menunggu hasil siasatan.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau sememangnya tidak mengetahui dana terbabit adalah daripada sumber SRC International ketika ia dipindah masuk ke dalam akaunnya iaitu pada Disember 2014 dan Februari 2015.
Jelasnya lagi, beliau hanya mengetahui sumber wang berkenaan selepas ia menjadi isu kemudian.
Mengenai pembabitan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low pula, Najib menyatakan Jho Low dipilih sebagai penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi menentukan hala tuju Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dalam pembangunan di negeri Terengganu.
Menurut Najib, Jho Low mempamerkan dirinya sebagai individu yang amat berpengaruh di negara Asia Barat dan beliau percaya ahli perniagaan itu mampu mempermudahkan urusan pelaburan 1MDB kerana negara Asia Barat mempunyai lebihan wang tunai disebabkan kenaikan harga minyak.
Pengaruh yang besar itu menyebabkan Jho Low kekal sebagai penasihat walaupun Lembaga Pelaburan Terengganu diambil alih Kerajaan Persekutuan dan ditukarkan kepada 1MDB.
SRC adalah syarikat sumber strategik iaitu anak syarikat kepada 1MDB.
Jelasnya, penubuhan 1MDB pada 2009 turut mengekalkan Lembaga Pengarah yang sama kerana pengalaman dan kelayakan mereka dalam operasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Kesemua pengarah TIA yang dibawa masuk ke syarikat 1MDB ialah Tan Sri Ismee Ismail (ketika itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji), Datuk Mohd Bakke Salleh (ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif FELDA Holdings Bhd), Tan Sri Datuk Azlan Zainol (ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Diperbadankan (KWAP) dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TIA.
Najib seterusnya menjelaskan, selepas keputusan dibuat supaya TIA diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan dan supaya saham dipegang Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), Ahli Lembaga Penasihat memaklumkan mengenai keperluan untuk meminda Memorandum & Artikel Persatuan 1MDB (M&A) yang sedia ada.
Katanya, beliau tidak nampak apa-apa yang luar biasa mengenai keperluan untuk melaporkan kepadanya selaku Perdana Menteri kerana beliau diberikan kuasa mutlak mengenai perlantikan pengarah di syarikat GLC yang lain seperti Khazanah, Petronas, PNB (Permodalan Nasional Berhad), TNB (Tenaga Nasional Berhad), Telekom dan sebagainya.
TUDUHAN
• Dua tuduhan selaku Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd, yang diamanahkan wang SRC RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah terhadap RM27 juta dan RM5 juta.
• Tuduhan ketiga membabitkan kesalahan sama terhadap wang berjumlah RM10 juta
• Tuduhan keempat, menggunakan jawatan untuk suapan RM42 juta apabila mengambil bahagian bagi pihak kerajaan untuk memberikan jaminan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International.
Tinggalkan komen anda