Pembangkang cabar semua wakil rakyat Perikatan isytihar harta


shadow

PEMBANGKANG mencabar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memastikan semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengisytihar harta sebelum sidang Dewan Rakyat kali ini berakhir.

Ahli Parlimen Johor Baru Akmal Nasir menggesa demikian kerana melihat kerajaan PN dilihat tidak serius untuk meneruskan amalan mengisytihar harta secara terbuka.

Ini memandangkan masih terdapat 43 lagi ahli Parlimen yang masih belum mengisytihar harta, katanya.

“Hanya 62% sahaja ahli Parlimen PN yang isytihar berbanding dengan 43 orang MP yang masih gagal selesai mengira kekayaan masing-masing.

“Saya cabar PM untuk pastikan kesemua MP Perikatan isytihar harta sebelum berakhirnya sidang Parlimen sesi ini,” katanya semasa membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau membangkitkan janji Muhyiddin pada Mac lalu supaya seluruh anggota Kabinet membuat pengisytiharan harta.

Muhyiddin memberitahu Dewan Rakyat minggu lalu, baki lima lagi anggota Kabinet yang masih belum mengisytiharkan harta diberi tempoh selama tiga bulan berbuat demikian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan juga minggu lalu memberitahu Dewan Rakyat, PN akan meneruskan amalan pengisytiharan harta secara terbuka.

Katanya perisytiharan tersebut akan disiarkan di laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti amalan pentadbiran Pakatan Harapan.

Menteri hal ehwal undang-undang itu berkata setakat 6 Julai lalu, seramai 43 anggota Parlimen belum menyerahkan pengisytiharan harta mereka.

Akmal dalam ucapannnya hari ini turut membangkitkan mengenai 50 orang ahli Parlimen dan pemimpin parti PN yang dilantik mengetuai agensi dan anak syarikat berkaitan kerajaan.

Akmal yang juga ketua Pemuda PKR mendakwa perkara itu menyebabkan kerajaan terpaksa membayar sebanyak RM25 juta setahun bagi gaji 50 ahli Parlimen tersebut.

“Kalau purata seorang RM40,000-50,000 sebulan tidak termasuk imbuhan-imbuhan yang lain, kos untuk menjaga mereka ini RM25 juta setahun.

“Ini tidak termasuk lagi kabinet yang membengkak saiznya. Adakah kerajaan PN kisah nasib orang muda,” soal beliau.

Ucapan beliau dicelah Tajuddin Abdul Rahman (BN – Pasir Salak) yang mendakwa tuduhan tersebut satu fitnah.

Ketika ditanya Akmal, Tajuddin yang dilantik sebagai pengerusi Prasarana mendakwa gajinya untuk jawatan itu hanya RM8,000 sebulan.

“Tidak ada hal, kami sangat telus, RM8,000 saja,” katanya.

Tinggalkan komen anda