Pelajar IPT dibenarkan kembali ke kampus berperingkat mulai Julai


shadow

Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dibenarkan kembali ke kampus secara berperingkat mulai bulan ini, dengan kemasukan sepenuhnya pada Oktober depan.

Menteri Pengajian tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, ketika mengumumkan perkara itu berkata kebenaran berkenaan dipersetujui pada Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

“Sehubungan itu, empat lagi kategori pelajar akan dibenarkan kembali ke kampus mulai, bulan ini.

“Kumpulan ini adalah tambahan kepada lima kategori yang telah diberi kebenaran sama sebelum ini,” katanya pada sidang media, di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, empat kategori itu ialah pelajar tempatan di IPT swasta (IPTS) sebanyak 30 peratus.

“Seterusnya, pelajar tahun satu hingga empat di universiti awam (UA) dalam bidang pengajian memerlukan latihan klinikal, latih amal, praktikal, bengkel, makmal, studio atau peralatan khusus, serta mereka yang perlu menduduki peperiksaan badan profesional.

“Selain itu, pelajar tahun satu hingga empat di UA yang tiada akses Internet atau persekitaran kondusif, seperti ruang belajar yang sempit atau keadaan tidak selesa bagi melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

“Pelajar antarabangsa di kedua-dua UA dan IPTS, termasuk penuntut baharu,” katanya.

Tinggalkan komen anda