KESATUAN Kebangsaan Atendan Penerbangan Malaysia (Nufam) berkata bank perlu melanjutkan moratorium pinjaman untuk kakitangan syarikat penerbangan kerana mereka terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, di mana industri itu dijangka memerlukan tempoh dua hingga tiga tahun untuk pulih.
Nufam berkata Kementerian Kewangan dan Bank Negara perlu mengendalikan proses bayaran semula pinjaman di mana kebanyakan kakitangan syarikat penerbangan menghadapi kesukaran untuk melakukannya sejak perintah berkurung pada Mac.
“Bank perlu sedar ini adalah krisis global di mana ia dihadapi oleh syarikat penerbangan. Ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan syarikat penerbangan terjejas teruk di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kesatuan itu berkata walaupun Malaysia melaporkan jumlah kes Covid-19 yangrendah, ia tidak bermakna syarikat penerbangan tidak terjejas kerana semua sempadan antarabangsa masih ditutup.
“Syarikat penerbangan tidak beroperasi seperti biasa dan akan ambil masa lebih lama untuk orang ramai ada keyakinan untuk menaiki pesawat. Kebanyakan penumpang juga tidak mahu berdepan SOP ketat dikenakan syarikat penerbangan,” katanya.
Sehubungan itu, kesatuan meminta bank mempertimbangkan permohonan itu dan lebih bertimbang rasa kepada mereka yang bekerja di syarikat penerbangan.
“Semalam kami terima aduan daripada kakitangan iaitu bank sudah mula mengeluarkan surat tuntutan pinjaman. Kebanyakan yang hilang kerja masih muda dan tidak ada simpanan.
“Bank sepatutnya tidak menggunakan kekerasan dengan mengeluarkan surat guaman dan tidak menggunakan cara biasa untuk beri tekanan terhadap mereka yang terjejas.
“Kami menggesa pihak berkuasa kewangan dan bank cuba berunding tentang isu ini kerana ada banyak SOP bank perlu disemak semula.
“Kami faham bank ada perniagaan yang perlu dijalankan, tetapi ini adalah masa untuk lebih timbang rasa,” kata kenyataan itu.
Nufam berkata kesukaran kewangan dihadapi ahlinya tidak akan berakhir bila moratorium ditarik balik September depan.
Tinggalkan komen anda