Muafakat Nasional bentuk jawatankuasa elak PAS-Umno bertembung


shadow

UMNO dan PAS membentuk jawatankuasa di peringkat negeri dan Parlimen sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata pemimpin kedua-dua parti.

Mereka mendedahkan, antara tugas jawatankuasa dianggotai 22 ahli daripada kedua-dua parti adalah perbincangan mengenai kerusi yang akan ditandingi bagi mengelakkan berlaku pertindihan.

Ketua Umno Bahagian Padang Besar Zahidi Zainul Abidin mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insight.

“Jawatankuasa ini akan dianggotai 22 ahli masing-masing 11 daripada Umno dan PAS, kita juga nak pastikan tiada pertindihan kerusi antara Umno dengan PAS,” katanya.

Timbalan menteri komunikasi dan multimedia itu berkata jawatankuasa itu juga berperanan menjadi penggerak kepada arahan Muafakat Nasional (MN) di peringkat pusat.

“Fungsinya juga untuk bahagi kawasan kerusi dan reka logo untuk pilihan raya.

“Kalau pilihan raya umum cepat mungkin pakai logo sendiri, kalau lambat kita mungkin pakai logo baharu. Tengoklah macam mana nanti,” katanya.

Ketua Umno Bahagian Gerik Hasbullah Osman pula berkata, pembentukan jawatankuasa MN itu juga dapat melancarkan urusan parti dengan gerak kerja dan penganjuran program.

Ia diatur berlandaskan Piagam MN, kata ahli Parlimen Gerik itu.

“Sebelum ini kerjasama dah berlaku, dengan arahan dari pusat ini, berlaku kerjasama rasmi, kalau dahulu masing-masing tidak tahu struktur kita.

“Nak lancarkan urusan, jadi tidak berlakulah pertindihan kerusi, kerjasama berlandaskan piagam kita, daripada situ kita perhalusi lagi jadi inilah dia jadinya (bentuk jawatankuasa),” katanya.

Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Hussein pula berkata, proses pelantikan ahli jawatankuasa itu akan dibentuk secepat mungkin walau belum ada petunjuk berhubung tarikh pilihan raya umum.

“Dalam masa dua minggu ini akan dibentuk jawatankuasa itu untuk kukuhkan MN pada peringkat negeri agar selari dengan MN di peringkat pusat.

“Ia termasuklah apa-apa sahaja perbincangan, penyelarasan dan sebagainya,” kata Abdullah.

Jawatankuasa MN negeri dan Parlimen itu bagaimanapun katanya tidak mempunyai kata putus dalam menentukan kerusi yang akan ditandingi.

Sebaliknya keputusan mutlak tertakluk kepada pimpinan pusat parti masing-masing, katanya.

“Dari segi pembahagian kerusi jawatankuasa boleh bincang juga tapi itu keputusan akhir peringkat pusat.

“Negeri boleh cadang dan bincang tapi keputusan akhir peringkat pusat, kita bincang tapi bukan keputusan muktamad,” katanya, ketika dihubungi.

Namun begitu katanya, MN di peringkat negeri sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya akan diadakan bila-bila masa.

“Kita tak tahu bila pilihan raya tetapi gambaran sudah dekat itu ada.

“Maknanya mungkin kita akan segerakan jawatankuasa ini berfungsi, mana tahu pilihan raya sudah tiba kan. Itu kena ada permuafakatan antara kami,” katanya, lagi.

MN yang ditubuhkan 14 September tahun lalu, merupakan kerjasama politik dimeterai Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno, serta PAS yang memimpin Gagasan Sejahtera.

Ia lanjutan kepada kekalahan Umno dan BN dalam PRU15 kepada Pakatan Harapan (PH).

Seterusnya selepas kerajaan bertukar, MN membentuk  kerajaan Perikatan Nasional bersama Bersatu dengan presiden parti itu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

PN bagaimanapun belum didaftarkan secara rasmi manakala Bersatu pula buat masa ini tidak menyertai MN. 

Tinggalkan komen anda