Mahkamah diberitahu Rosmah diberi RM6.5 juta melalui 2 bayaran


shadow

ROSMAH Mansor dibayar RM6.5 juta melalui dua pembayaran atas peranannya membantu Jepak Holding Sdn Bhd mendapatkan projek solar hibrid di Sarawak, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Rakan kongsi Jepak Holdings Sdn Bhd Rayyan Radzwill Abdullah memberitahu mahkamah, pengarah urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin memaklumkannya mengenai bayaran kepada isteri perdana menteri Najib Razak.

Selepas menerima surat anugerah untuk projek berkenaan pada 10 November, 2016, Rayyan berkata, Saidi berjumpa dengannya pada Disember 2016 dan memaklumkan beliau mengenai bayaran pertama RM5 juta yang dibuat kepada Rosmah.

Rayyan ketika membaca kenyataannya berkata Saidi memberitahunya bahawa bayaran itu dibuat kepada Rosmah melalui pembantunya, Rizal Mansor.

Pada pertemuan yang sama dengan Saidi, Rayyan berkata Saidi menjemputnya ke kediaman Rizal di Vistana Kirana, Segambur kerana beliau mahu berikan hadiah kepada Rizal.

Rayyan akur dan mengikutnya.

Di kediaman berkenaan, beliau berkata Saidi memberikan beg kertas kepada Rizal, yang mana Rayyan percaya ia mengandungi wang tunai.

“Selepas meninggalkan kediaman Rizal, Saidi memberitahu saya beliau memberikan RM500,000 kepada Rizal sebagai ganjaran kerana membantu Jepak mendapatkan projek solar daripada Kementerian Pendidikan,” Rayyan memberitahu mahkamah.

Kedua-dua bayaran itu, RM5 juta dan RM500,000 dibuat sebelum Jepak menerima bayaran pertamanya untuk projek solar.

Rayyan berkata, pada Julai 2017, Saidi memberitahunya melalui WhatsApp bahawa Jepak menerima bayaran untuk projek solar dan penyelenggaraan set generator disel bernilai kira-kira RM63 juta.

Saidi kemudian meminta Rayyan mengatur pertemuan dengan Rosmah, yang diatur pada Ogos 2017 menerusi Rizal.

Rayyan kemudian memberitahu mahakmah pada 7 September, 2017, beliau dan Saidi ke kediaman Rosmah di Langgak Duta.

Rizal yang berada di sana membawa mereka ke ruang tamu yang mana menurut Rayyan, beliau melihat pemandu Saidi, Shamsul Rizal Sharbini membawa dua beg hitam berjalur jingga. Pemandu itu kemudian meletakkan beg itu di ruang tamu dan kemudian beredar.

Rosmah datang ke ruang tamu beberapa minit kemudian dan menunjukkan ke arah dua beg itu, manakala Saidi bercakap kepada Rosmah, mengatakan beliau memberinya sedikit wang tunai dan bayaran seterusnya akan dibuat berdasarkan perkembangan projek.

Rayyan memberi keterangan bahawa reaksi Rosmah ketika itu adalah beliau mengangguk dan berkata “Okay-lah”. Tambahnya, Rosmah seperti tidak terkejut dengan duit itu.

Beliau memberitahu mahkamah yang beliau tidak tahu beg itu mengandungi wang tunai sehinggalah Saidi memberitahunya selepas beredar dari situ.

Ia merupakan bayaran kedua, yang mana menurut Saidi ia berjumlah RM1.5 juta, kata Rayyan.

Rayyan juga memberi keterangan bahawa sehingga kini, Jepak tidak menjalankan projek hibrid solar itu walaupun telah menerima bayaran kira-kira RM63 juta daripada kerajaan Malaysia.

“Walaupun mereka meneruskan penyelenggaraan generator diesel di sekolah, projek hibrid solar itu masih tidak dilaksanakan,” katanya kepada mahkamah.

Rosmah, 69 berdepan tiga pertuduhan rasuah, salah satunya adalah untuk meminta RM187.5 juta dari Saidi sebagai dorongan untuk membantu Jepak mendapatkan projek hibrid solar di Sarawak.

Beliau juga dituduh menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi pada tahun 2016 dan 2017.

Rayyan akan diperiksa balas oleh peguam belas Rosmah, Akberdin Abdul Kader.

Tinggalkan komen anda