KERAJAAN tidak patut mengenakan tindakan keras ke atas rangkaian berita antarabangsa Al-Jazeera atas laporan berhubung layanan Malaysia ke atas warga asing, kata Dr Mahathir Mohamad.
Sebaliknya, kerajaan sepatutnya membuat penjelasan kepada stesen berkenaan, kata bekas perdana menteri itu dalam ucapan di Dewan Rakyat petang ini.
“Kerajaan tidak sepatutnya ambil tindakan keras terhadap pemberita Al-Jazeera.
“Adalah lebih baik jika kita sampaikan laporan kita berkenaan dengan layanan kepada pendatang asing,” katanya semasa perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat.
Penerbit dan wartawan yang terlibat dalam dokumentari Al-Jazeera bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” mengenai pendatang asing itu disiasat polis minggu lalu.
Laporan itu dikecam Putrajaya yang menyifatkannya sebagai penerbitan berniat jahat untuk memburuk-burukkan Malaysia.
Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob juga menyifatkan laporan Al-Jazeera itu palsu kerana mendakwa kanak-kanak migran digari sewaktu dibawa ke pusat tahanan.
Al-Jazeera juga tidak berminat untuk mengetahui perkara sebenar, dakwa menteri itu yang hanya mengadakan sidang media tertutup bersama organisasi tertentu.
Putrajaya juga membatalkan permit kerja seorang pekerja warga asing yang ditemubual dalam dokumentari sepanjang kira-kira 25 minit itu.
Laporan berkenaan memfokuskan mengenai layanan Malaysia terhadap pendatang tanpa izin ketika melaksanakan langkah menangani penularan pandemik Covid-19.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata Malaysia sememangnya memberi layanan baik kepada warga asing yang menyebabkan jumlah golongan itu meningkat kepada tujuh juta orang di sini.
Namun pada masa sama terdapat juga kes menyebabkan Malaysia kelihatan tidak bertimbang rasa, katanya yang merujuk kepada tindakan penguatkuasaan ke atas pendatang itu.
Dalam ucapannya, Dr Mahathir juga mempertahankan tindakan untuk mengenalpasti pendatang tersebut bagi menangani Covid-19.
Namun negara yang menuduh Malaysia memberi layanan buruk kepada pendatang juga mengambil sikap lebih teruk, katanya.
“Saya sedar bahawa pendatang tanpa izin menimbul banyak masalah terutama semasa wabak Covid-19.
“Mereka takut memperkenalkan diri kerana akan dihantar balik. Tetapi mereka hendaklah dikenal pasti supaya mereka tidak jadi kluster Covid-19.
“Orang asing mudah tuduh kita kasar terhadap pendatang. Tetapi Eropah, Amerika Syarikat, India lebih kasar,” katanya.
Tinggalkan komen anda