Lagi kelonggaran PKPP: Surau, dewan dibenarkan solat Jumaat


shadow

Pelaksanaan solat Jumaat diperluaskan lagi dengan memberi kebenaran kepada surau dan dewan yang sesuai, sekali gus membolehkan lebih ramai umat Islam dapat melaksanakan ibadah itu.

Selain itu, penggunaan secara maksimum bagi ruang solat di masjid dan surau Jumaat sedia ada, turut dibolehkan bagi tujuan sama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dalam satu kenyataan hari ini berkata, kelulusan rasmi itu dikeluarkan selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan titah perkenan kepada resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-7 yang bersidang pada 24 Jun 2020.

“Dalam melaksanakan perkara ini, pihak berkaitan hendaklah mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) terkini yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Zulkifli turut memaklumkan, mulai minggu ini majlis ilmu di masjid dan surau boleh diadakan seperti biasa.

“Semua majlis ilmu yang lazim diadakan di masjid, surau Jumaat dan surau seperti kuliah Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, Dhuha, kelas fardhu ain, pengajian al-Quran dan lain-lain boleh diadakan bermula minggu ini.

“Ia boleh diadakan dengan syarat SOP dipatuhi berdasarkan keluasan masjid, surau Jumaat atau surau,” katanya.

Beliau turut menyarankan, supaya masjid atau surau tidak dikunci selain daripada waktu solat bagi memudahkan orang ramai menunaikan solat.

“Bagi pelaksanaan solat berjemaah, pagar masjid, Surau Jumaat dan surau juga disarankan untuk tidak dikunci pada waktu selain daripada waktu solat (sebagaimana yang ditetapkan dalam SOP sebelum ini).

“Ini bagi memudahkan orang ramai menunaikan solat terutama mereka yang bermusafir, penghantar makanan, barangan dan pemandu e-hailing,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Zulkifli turut menyeru semua umat Islam untuk sama-sama kembali mengimarahkan masjid, surau Jumaat dan surau.

Tinggalkan komen anda