Kini hakim wanita separuh dari 14 hakim Mahkamah Persekutuan


shadow

Badan kehakiman negara mencatatkan sejarah tersendiri apabila lebih separuh daripada 14 hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada golongan wanita.

Ini susulan pelantikan dua hakim wanita terbaru iaitu Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.

Mary Lim, 61, Rhodzariah, 58 dan Harmindar Singh, 61, mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat di Istana Kehakiman, di Putrajaya, hari ini.

Mahkamah Persekutuan kini dibarisi 14 hakim dengan lapan daripada mereka adalah wanita.

Selain Tengku Maimun dan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf, hakim wanita lain di Mahkamah Persekutuan adalah Datuk Nallini Pathmanathan, Puan Sri Zaleha Yusuf, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Hakim lelaki pula terdiri daripada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Sementara itu, lapan hakim Mahkamah Tinggi dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan.

Mereka ialah Datuk Mohd Soffian Abdul Razak, 64, Datuk Supang Lian, 59, Datuk Lee Heng Cheong, 63, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin, 63, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, 59, M. Gunalan, 62, Datuk Nordin Hassan, 56, dan Daryl Goon Siew Chye, 64.

Mereka mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan.

Pada majlis mengangkat sumpah jawatan, Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke Yee Ching adalah 11 orang menerima surat pelantikan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman daripada Ketua Hakim Negara.

Selain Loke, yang lain ialah Datuk Zaleha Rose Pandi, 59, Datuk Azhar Hamid, 56, Dr Arik Sanusi Yeop Johari, 50, Datuk Amirudin Abd Rahman, 58, Mahazan Mat Taib, 52, Bhupindar Singh a/l Gurcharan Singh Preet, 56, Ahmad Murad Abdul Aziz, 61, Liza Chan Sow Keng, 62, Wan Muhamad Amin Wan Yahya, 48, dan Alexander Siew How Wai, 54.

Zaleha dan Siew mengangkat sumpah jawatan dan tata setia di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak manakala yang lain di hadapan Hakim Besar Malaya.

– Bernama

Tinggalkan komen anda