Kerajaan minta syarikat kapal terbang turunkan harga tiket


shadow

PENGENDALI pengangkutan udara tempatan perlu menurunkan kembali harga tiket kepada kadar normal kerana pesawat kini sudah dibenarkan beroperasi kapasiti penuh, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, terdapat aduan yang syarikat penerbangan mengenakan caj tinggi untuk penerbangan dalam negeri walaupun sudah dibenarkan beroperasi kapasiti penuh.

Tambahnya, kerajaan sudah mengarahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia untuk berbincang isu itu dengan pihak syarikat.

“Baru-baru ini kami dengar cakap-cakap tentang harga tiket tinggi.

“Kami faham kadar tiket pada mulanya tinggi bila kami beritahu pengendali ini untuk beroperasi dengan kapasiti dikurangkan kerana mereka perlu mematuhi penjarakan sosial dalam pesawat dan hanya boleh memenuhkan maksimum 66% kapasiti.

“Bagaimanapun, sekarang mereka sudah dibenarkan beroperasi kapasiti penuh. Tidak perlu penjarakan sosial dalam pesawat.

“Kerana itu, kerajaan merasakan kadar tiket perlu dikembalikan kepada sebelum wabak Covid-19,” katanya yang juga menteri pertahanan pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Pada 11 Jun lalu, Ismail berkata semua pengangkutan awam termasuklah pesawat terbang dan bas ekspres serta khidmat seru pandu dan kenderaan persendirian dibenarkan beroperasi kapasiti penuh dengan mematuhi SOP diberikan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) berlangsung.

Syarikat penerbangan tempatan dibenarkan melakukan penerbangan dalam negara tetapi sempadan antarabangsa masih ditutup.

Tinggalkan komen anda