Kadar jenayah rendah di KL ketika PKP kecuali penipuan dalam talian, kata KDN


shadow

Kementerian Dalam Negeri hari ini berkata, kadar jenayah menurun dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), kecuali kes penipuan dalam talian.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ismail Mohamed Said berkata, sebanyak 2,225 kes jenayah dilaporkan dari 1 Jan hingga 17 Mac lalu dan jumlah itu menurun kepada 546 kes dari 18 Mac hingga 3 Mei lalu.

Katanya, 708 kes dicatatkan semasa PKP bersyarat dari 4 Mei hingga 9 Jun dan 488 kes dari 10 Jun hingga 30 Jun.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai indeks kadar jenayah di ibu negara sebelum, semasa dan selepas PKP.

Fong ingin tahu tindakan yang sudah diambil bagi membendung jenayah di ibu kota.

Ismail berkata, KDN akan memperkuatkan pasukan keselamatan itu dan menggunakan dron untuk menangkap penjenayah.

“Kalau di bandaraya Kuala Lumpur sekarang ada 100 unit CCTV, kita akan tambah lagi. Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk sama-sama mengawasi CCTV kita.

“Kita juga ada pembelian dron yang baru. Selain daripada CCTV, kita gunakan khidmat dron ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai), beliau berkata, kecurian motosikal ialah jenayah paling kerap berlaku sepanjang PKP.

Sementara itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) bertanyakan jika usaha kerajaan dan statistik itu termasuk kes penipuan dalam talian, sambil menambah pihak berkuasa perlu bersiap sedia untuk pasca-Covid-19.

Ismail berkata, ia tidak termasuk dalam indeks jenayah, namun tumpuan khusus akan diberikan kepada kes penipuan sedemikian.

“Polis sedang mengkaji untuk memasukkan jenayah komersial ini menjadi tumpuan khusus bagi kita menangani jenayah dalam talian.”

Sepanjang tempoh PKP, beribu mangsa melaporkan kerugian akibat penipuan dalam talian, termasuk seorang guru di Pahang yang kehilangan hampir RM100,000.

Tinggalkan komen anda