Isteri cari nafkah untuk keluarga


shadow

“Ketika suami sihat, dia bekerja mencari rezeki untuk menampung kami sekeluarga. Kini, saya pula perlu menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga,” kata Zamilah Ismail, 40.

Zamilah berkata, dia mula mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga dengan berniaga sayur-sayuran yang dikutip sendiri selepas suaminya, Ahmad Awang Noor, 49, tidak lagi boleh bekerja sebagai peniaga pau, berikutan penyakit asma kronik sejak lima tahun lalu.

Katanya, sejak suaminya sakit, kehidupan mereka bersama tujuh anak termasuk enam daripadanya berstatus orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran berubah sepenuhnya, namun dia nekad untuk berdikari kerana tidak mahu terlalu bergantung dengan bantuan.

“Enam anak kami iaitu, Ahmad Shukri Ahmad, 26; Azlina, 23; Mohamad Faris Asmadi, 19; Iqka Syafieka, 18; Siti Aisyah,17; dan Shahrul Nizam, 13; masing-masing berstatus OKU kategori pembelajaran dan hanya anak bongsu, Siti Natasha, 10, yang normal.

“Suami dan enam anak saya yang berstatus OKU mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), iaitu suami memperoleh RM350 sebulan, manakala anak-anak pula masing-masing menerima RM150 setiap seorang.

“Dengan wang bantuan yang diperoleh ini cukup untuk membeli ubat-ubatan suami serta keperluan persekolahan anak-anak dan pada masa, anak bongsu, Siti Natasha yang menghidap penyakit leukemia serta masalah jantung sejak lahir perlu menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian setiap dua bulan sekali,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pangkal Nangka Pulai Chondong di sini, baru-baru ini.

Ibu kepada tujuh orang anak yang berusia di antara 10 hingga 26 tahun itu berkata, demi mencari sesuap nasi hampir setiap hari dia akan berulang-alik sejauh 20 kilometer (km) dengan menaiki motosikal dari rumahnya ke stesen minyak di Kok Lanas untuk menjual sayur-sayuran yang dikutip.

“Sayur-sayuran yang saya jual seperti pucuk paku dan rebung ini dikutip di sungai berhampiran dengan rumah atau ada ketikanya dibeli dari penduduk untuk dijual.

“Kebiasaannya saya yang ditemani anak akan berniaga sayur di hadapan stesen minyak empat hari dalam seminggu sekitar jam 1 tengahari hari dan akan pulang sebaik barang jualan habis, iaitu kira-kira jam pukul 5 petang.

“Saya berniaga secara kecil-kecilan sahaja dengan untung RM20 hingga RM30 sehari untuk kelangsungan hidup kami sekeluarga. Ada ketikanya jika kesuntukan wang, kami sembilan beranak hanya makan nasi berlaukkan telur goreng,” katanya.

Katanya, pada masa sama, dia juga bersyukur kerana mereka sekeluarga mempunyai tempat berteduh yang selesa melalui bantuan rumah yang dibina oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Tinggalkan komen anda